Pelumba muda kategori CP130, Zulsyafiz Rosli tidak meletak sasaran tinggi bagi menghadapi baki separuh musim saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 bermula pusingan keenam yang akan berlangsung di Muar Bandar Diraja, Johor, 30 Jun dan 1 Julai ini.

Pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM itu berpendapat masih terlalu awal baginya untuk menetapkan sebarang sasaran memandangkan ini tahun pertama dia beraksi dalam kategori perdana selepas bergelar juara WIRA pada tahun 2011.Tambahan pula, dia tidak mempunyai banyak pengalaman beraksi dalam kategori CP115 selepas hanya beraksi pada pusingan pembukaan di Batu Kawan. Selepas itu, dia menggantikan tempat juara bertahan, Shahril Izzuwan Mohd Noor dalam kategori CP130 bermula Pusingan 2 di Terengganu dimana Shahril telah memilih untuk kembali mempertahankan gelarannya.

“Ini merupakan tahun sulung saya beraksi dalam kategori CP130 dan tidak ada sebarang sasaran tinggi diletakkan sama ada oleh saya sendiri mahupun pasukan. Jika dapat masuk ke pusingan Superpole dan menamatkan perlumbaan di kelompok 10 pelumba terbaik pun sudah cukup memadai. Pengalaman saya jauh berbeza untuk sama-sama bersaing dengan kelompok pelumba di hadapan apatah lagi hanya satu pusingan pernah beraksi dalam kategori CP115,” kata pelumba 17 tahun itu.

Bercakap tentang tekanan beraksi menentang pelumba-pelumba elit, Zulsyafiz mempunyai pendapat tersendiri. Baginya, ini adalah peluang terbaik untuk dia belajar dan meningkatkan lagi prestasinya.

“Perlumbaan kategori perdana ini cukup berbeza jika dibandingkan dengan kategori CP115 dan WIRA. Pelumba-pelumba senior berada di dalam kelas tersendiri, masing-masing dengan kebolehan dan kelemahan berbeza. Sangat sukar untuk menandingi mereka apatah lagi keadaan jentera kami tidak cukup kompetitif pada saat ini.

“Namun pada masa sama banyak yang dapat saya pelajari. Saya dapat memacu jentera saya dengan lebih baik berbanding ketika beraksi dalam kategori WIRA. Begitu juga dengan pemahaman teknikal jentera. Ini dapat membantu menjadikan saya pelumba yang lebih baik cuma perjalanan saya masih jauh. Apa yang menjadi sasaran utama saya ketika ini adalah untuk layak ke sesi Superpole pada mana-mana baki perlumbaan selepas ini.”