Aki Ajo(empat kiri), Ishal Ishak (lima kiri), Dato’ Razlan Razali (enam kiri), Zulfahmi bersama pelumba lain di sidang media.

 

Permata sukan permotoran negara, Zulfahmi Khairuddin bertekad untuk memberikan persembahan terbaik dilaman sendiri hujung minggu ini sekaligus menjadi hadiah harijadi terbaik buat pelumba yang bakal menjenguk usia 21 tahun, Sabtu ini.

Zulfahmi mencatat kedudukan ke-5 pada perlumbaan GP Jepun di Litar Motegi minggu lalu. Pencapaian memberangsangkan sepanjang musim 2012 membawa anak jati Banting ini berada di tangga ke-7 seluruhan dengan mengumpul 92mata; hanya 8 mata lagi untuk mencapai sasaran 100mata yang telah ditetapkan awal musim.

Walaubagaimanapun, Zulfahmi masih lagi belum menaiki podium dan situasi ini pastinya menambahkan tekanan kepadanya lebih-lebih lagi menjelang perlumbaan di Sepang hujung minggu ini dengan puluhan ribu peminat tempatan pastinya mengharapkan Zulfahmi mengakhiri kemarau podiumnya.

Zulfahmi janji aksi terbaik untuk peminat tempatan

 

“Bukan mudah sebenarnya untuk mencatat keputusan cemerlang dalam setiap perlumbaan. Saya masih baru berbanding pelumba-pelumba lain dan masih banyak yang perlu saya belajar” kata Zulfahmi yang mencatat kedudukan ke-7 pada perlumbaan di Sepang tahun lepas.

“Namun saya berjanji akan memberikan aksi terbaik pada perlumbaan hujung minggu ini. Jadi, untuk permulaan, saya akan berusaha mendapatkan kedudukan 5 terbaik pada sesi kelayakan untuk memudahkan saya pada perlumbaan sebenar” tambah Zulfahmi yang menunggang jentera KTM.

Zulfahmi ditemui di majlis meraikan kepulangan beliau bersama media di Galactic Laser Mid Valley anjuran penaja, Air Asia. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengurus Jenama Air Asia; Ishal Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif SIC; Dato Razlan Razali, Pengurus Pasukan AJO Racing; Aki Ajo serta pesaing-pesaing Zulfahmi dalam Moto3 iaitu Sandro Cortese, Danny Kent dan Arthur Sissis.

Dalam pada itu, Zulfahmi juga berkongsi pandangannya mengenai masa depan Malaysia dalam sukan perlumbaan motor ini.

“Saya rasa Malaysia mempunyai ramai pelumba muda yang berbakat dan berpotensi untuk melangkah lebih jauh seperti Hafiz Shahrin serta pelumba-lelumba CubPrix yang lain. Jadi saya harap akan ada 2,3 wakil dari Malaysia beraksi di Kejuaraan Dunia pada masa akan datang” ujar Zulfahmi lagi.

GrandPrix Malaysia akan berlangsung pada 19 hingga 21 Oktober ini di Litar Sepang.