Pemain profesional, Zulfadli Zulkiffli sudah memohon bantuan PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) selepas dikenakan hukuman gantung 20 tahun dan denda AS$25,000 (RM98,537) kerana terbabit dengan isu mengatur perlawanan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh BAM semalam apabila Zulfadli sendiri menyerah surat permohoan rasmi ke pejabat BAM.

Dalam pada itu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memberitahu pihaknya akan meneliti kes berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan sama ada boleh membantu Zulfadli atau sebaliknya.

Pemain berusia 25 tahun itu memohon badan induk BAM menolongnya mempermudahkan proses rayuan termasuk pembayaran denda selepas dia mendakwa dirinya dijatuhkan hukuman tanpa bukti kukuh oleh  Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Kami perlu mengkaji dulu isu ini kerana ia kes yang besar dan serius. Pastinya, ia akan mengambil sedikit masa.

“Saya akan meminta Jawatankuasa Peraturan dan Disiplin yang dipengerusikan Datuk Seri Jabaherdeen Mohamed Yunoos untuk meneliti dan mengkaji kes ini. Apa yang saya boleh katakan, ia bukan mudah, kami perlukan masa,” kata Norza ketika dihubungi Metro, semalam.

Ketika sidang media yang berlangsng Jumaat lalu, Zulfadli merayu pertolongan BAM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas memberitahu dirinya ibarat mangsa eksploitasi BWF yang menjatuhkan hukuman tanpa bukti yang kukuh.

Sementara itu, seorang lagi pemain profesional negara, Tan Chun Seang turut didapati bersalah dan dikenakan hukuman gantung selama 15 tahun serta denda AS$15,000 (RM59,122).

Foto Kredit: Tribun Jateng/ Tribunnews