Pemenang pingat gangsa acara lontar peluru lelaki pada Sukan Paralimpik London 2012, Muhamad Ziyad Zolkefli, menyimpan hasrat untuk ke menara gading dalam bidang pengurusan perniagaan kerana minatnya yang mendalam terhadap dunia perniagaan sejak kecil.  Atlet paralimpik sepenuh masa berusia 22 tahun itu bercita-cita untuk akhirnya memiliki perniagaan sendiri.

“Selain daripada meraih pingat dalam acara lontar peluru saya juga ingin berjaya dalam kehidupan dan kalau boleh saya ingin memiliki perniagaan menjual peralatan sukan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) satu hari nanti,” katanya kepada Bernama hari ini.

Atlet yang berasal dari Gombak, Selangor itu berkata beliau memilih bidang perniagaan sebagai kerjaya kedua bukan hanya sekadar minat tetapi yakin dengan hadis Rasulullah (Riwayat Tirmizi) bahawa 9/10 rezeki itu datang daripada perniagaan.

“Namun ini tidak bermakna bahawa saya akan meninggalkan dunia sukan sebaliknya saya akan terus aktif dalam sukan lontar peluru selagi termampu,” katanya.

Muhamad Ziyad berkata jika diberi peluang beliau bercita-cita untuk lanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi MARA (UiTM).  Sementara itu, Muhamad Ziyad berkata kejayaan meraih pingat gangsa pada Sukan Paralimpik London 2012 baru-baru ini membakar semangatnya untuk berusaha dengan lebih gigih jika terpilih untuk mewakili negara ke Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016.

“Saya kini menjalani latihan seperti biasa bagi memastikan diri saya setiap berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi apa jua kejohanan pada tahun depan.

“Pada masa yang sama, saya juga akan cuba lakukan yang lebih baik bagi memastikanbahawa dapat membawa pulang pingat yang lebih baik di Rio nanti,” katanya. – BERNAMA