Connect with:




Menjelang pertembungan final pertama Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 bertemu Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok, kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abd. Razak kekal optimis, beliau dan rakan-rakan tidak akan tidak lagi akan mensia-siakan peluang keemasan beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Pada aksi separuh akhir pertama bertemu Thailand di gelanggang keramat negara itu awal bulan ini, jentera sserangan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe tampak tumpul hingga gagal memperoleh sebarang gol di tempat sendiri.

Keadaan itu memaksa Harimau Malaya untuk berkerja keras di Stadium Rajamangala, Bangkok bagi aksi separuh akhir kedua namun nasib nyata bersama skuad negara apabila mengesahkan tiket final dengan mengetepikan juara bertahan itu menerusi kelebihan gol tempat lawan setelah perlawanan terikat 2-2.

Enggan skrip sama berulang, Zaquan menuntut rakan sepasukan agar tidak mensia-siakan peluang beraksi di laman sendiri, tambahan pula dengan sokongan padu 80,000 penyokong sendiri bakal membanjiri stadium terbesar negara itu nanti.

“Saya akui bermain di laman sendiri memberi kelebihan buat mana-mana pasukan sekali pun namun jika pasukan gagal meledak gol, ia tetap tidak memberi sebarang bekalan baik buat skuad negara.

“Namun, jika skuad negara berjaya menyekat lawan dari menjaringkan gol, ia sudah boleh dianggap sebagai positif namun kami perlu menang bagi membawa bekalan selesa.

“Bagi saya pengalaman separuh akhir bertemu juara bertahan Thailand sebelum ini dapat diulangi dengan skrip yang berbeza iaitu membawa bekalan gol ke tempat lawan nanti, “ jelas Zaquan yang bakal membuat penampilan sulung pada pentas final Piala AFF Suzuki setelah tiga penampilan mewakili negara pada edisi 2008 dan 2016.

Perlawanan final kedua bakal berlangsung di Stadium Nasional My Dinh, Vietnam pada 15 Disember ini dan untuk rekod, Harimau Malaya tunduk 2-0 kepada Vietnam di stadium yang sama pada peringkat kumpulan.

Namun harus kita ingat, skrip Piala AFF Suzuki 2010 sedang dimainkan sekali lagi bagi edisi kali ini dan skuad negara kini selangkah saja untuk turut menemui kesudahan yang sama seperti edisi 2010 iaitu muncul juara .

 

Foto : Facebook Football Association of Malaysia (FAM)