Connect with:




Mohd Zaqhwan Zaidi mencatat kemenangan dramatik dalam aksi di litar basah pada Perlumbaan 2 Asia Superbike 1000cc Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu yang berakhir di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

Bermula dari petak ketiga, pelumba Honda Asia-Dream Racing With SHOWA itu menggunakan kelebihan ketika ramai pelumba mengalami masalah dalam aksi ketika hujan untuk mendahului perlumbaan pada pusingan ketujuh dan menamatkan 11 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 27’20.147s.

Thitipong Warokorn (KAWASAKI Thailand Racing Team) yang pada satu ketika di kedudukan keempat sekali lagi menamatkan perlumbaan sebagai naib juara dengan masa 27’23.70s manakala tempat ketiga milik Yuki Ito (YAMAHA Racing Team ASEAN) dengan masa 27’27.360s.

“Perlumbaan hari ini agak sukar kerana cuaca yang berbeza-beza. Sebahagian litar basah dan sebahagian pula kering, tambahan pula keadaan tangan saya yang masih belum pulih 100 peratus,” jelas Zaqhwan.

Tambahnya, “Pada mulanya saya meramalkan cuaca akan semakin panas walaupun hujan mula turun ketika pelumba di petak mula. Sebaliknya ia semakin lebat dan banyak kawasan litar agak licin dan saya terpaksa mengambil risiko untuk memintas pelumba.

“Tambahan pula saya memang inginkan kemenangan dalam perlumbaan ini setelah menghadapi masalah jentera dalam Perlumbaan 1 semalam.”

Malang melanda seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman (ONEXOX TKKR SAG Racing Team) yang memenangi perlumbaan semalam setelah terpaksa menarik diri pada pusingan keenam akibat masalah jentera.

Dalam saingan SuperSports 600cc, Kasma Daniel Kasmayuddin (Hong Leong YAMAHA Malaysia) sekali lagi menaiki podium setelah mempamer aksi bertenaga untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.

Kasma menamatkan 10 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 21’59.471s setelah berjaya memintas rakan senegara, Mohd Adam Mohd Norrodin di selekoh terakhir. Peerapong Boonlert (YAMAHA Thailand Racing Team) sekali lagi muncul juara setelah bersendirian melintasi garisan penamat dengan masa 21’57.152s. Tempat kedua milik Andi Farid Izdihar (ASTRA HONDA Racing Team) ketiga dengan masa 21’59.471s.

Sementara itu, Mohd Amirul Ariff Musa (Yuzy HONDA Racing) muncul naib juara dalam kategori Underbone 150cc dengan masa 15’32.691s. Gelaran juara milik Fernando Masato (UMA Racing YAMAHA Philippine Team) dengan masa 15’32.583s manakala rakan sepasukan, McKinley Kyle Paz di kedudukan ketiga dengan masa 15’32.708.