Aksi Zamri Baba di Litar Zhuhai bulan lalu

 

Pelumba Malaysia, Mohd Zamri Baba memburu podium pada Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Litar Lumba Antarabangsa Autopolis, Jepun pada 6 hingga 9 September ini agar dapat terus menghidupkan peluang merebut mahkota kejuaraan kategori SuperSports 600cc.

Bagi pelumba berusia 29 tahun itu, litar sepanjang 4.674km yang dibina di kawasan lingkaran gunung berapi itu bukan antara litar kegemarannya dan dia seringkali tidak bernasib baik di sini.

“Secara peribadi, saya kurang menggemari litar Autopolis berbanding lima litar lain dalam kalendar perlumbaan ARRC. Saya rasa gaya tunggangan saya tidak sesuai dengan perubahan drastik terhadap ketinggian litar ini dan ia terbukti apabila setakat empat tahun beraksi, saya telah terjatuh sebanyak tiga kali. Walau bagaimanapun, seperti lain-lain perlumbaan, saya pasti akan mencuba dengan sedaya upaya hujung minggu ini,” jelas Zamri.

Pelumba PETRONAS Hong Leong Yamaha itu juga berharap aksi konsisten di mana dia mencatat tiga kejayaan podium berturut-turut termasuk gelaran juara pada Perlumbaan 1 sewaktu Pusingan 3 di Litar Antarabangsa Zhuhai, China (Zhuhai), baru-baru ini akan berterusan.

Zamri Berharap Tuah Berterusan

 

Tambahan lagi, dia telah membuat persiapan awal dengan menyertai Kejuaraan All Japan MFJ di Litar Sugo, Jepun pada 26 Ogos lepas bagi mendapatkan semula momentum selepas berehat seketika sempena bulan puasa dan sambutan Aidilfitri.

“Dua pusingan terakhir ditamatkan dengan kejayaan dan tanpa sebarang kejadian tidak diingini jadi saya harap ia akan berterusan pada perlumbaan di Jepun nanti. Kami telah pun melakukan persediaan secukupnya termasuk menyertai perlumbaan All Japan MFJ di Sugo pada minggu pertama hari raya. Walaupun gagal menamatkan perlumbaan tersebut, ia tetap banyak menyumbang dan membantu memantapkan lagi skil tunggangan saya dan juga semangat pasukan,” jelasnya.

Mengulas tentang peluang merebut mahkota juara selepas hanya 13 mata dipisahkan dari dirinya dan pendahulu, Ryuichi Kiyonari (MUSASHi Boon Siew Honda Racing), Zamri berkata, “Saingan masih terbuka tetapi saya tidak terlalu memikirkan tentang perkara tersebut. Sebaliknya sasaran utama saya adalah untuk menamatkan baki saingan di atas podium pada setiap perlumbaan dan terus merapatkan jurang mata dengan Kiyonari dan Katsuaki Fujiwara yang berada di kedudukan kedua. Tambahan pula, saya jangkakan saingan yang amat sengit sekali di Jepun memandangkan terdapat beberapa pelumba tempatan yang akan beraksi di atas tiket wildcard dan mereka bukan calang-calang.”