Connect with:




Pengendali Kuala Lumpur, Yusri Che Lah yakin akan anak buahnya mampu bangkit pada perlawanan berikutnya menentang Selangor pada Ahad ini, walaupun kini berada di tangga tercorot liga.

Yusri mengakui bahawa pemainnya kini berada dalam keadaan tertekan tetapi itu bukan alasan untuk mereka bangkit memburu mata pertama selepas empat perlawanan.

“Selepas mengalami kekalahan kepada Melaka United 0-2 semalam, ia telah memberi saya lebih tekanan, tetapi saya tidak mahu menunjukkan diri tertekan kerana saya tahu pemain saya lebih tertekan.

Tiada seorang pun jurulatih yang inginkan kekalahan demi kekalahan, saya menerima keputusan ini dengan hati terbuka. Kami akui masih jauh ketinggalan daripada banyak aspek dan sudah tentu kami akan meningkatkan prestasi untuk menentang Selangor,” kata Yusri.

Jurulatih Kuala Lumpur, Yusri Che Lah.

Pada perlawanan semalam, skuad ‘The City Boys’ tumpas 0-2 kepada Melaka United menerusi jaringan Darko Markovic dan Mohd Nazrin Nawi masing-masing pada minit ke-14 dan ke-16.

Walau bagaimanapun, Yusri tetap berpuas hati dengan kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan oleh pemain walaupun tidak gembira dengan keputusan itu.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan berkata misi untuk mendapatkan tiga mata penuh di laman sendiri tercapai dan keputusan itu amat penting untuk memastikan skuadnya berada di dalam kelompok lima terbaik.

“Kemenangan ini akan meningkatkan lagi tahap keyakinan para pemain dan saya sangat berpuas dengan disiplin yang ditunjukan oleh setiap pemain,” kata Zainal. –BERNAMA

Foto : Facebook KLFA Official