Yusri Che Lah dipilih secara rasmi sebagai Ketua Jurulatih The Red Warriors bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Hal ini disahkan sendiri oleh presiden TRW Bibi Ramjani Ilias Khan yang memberitahu perbincangan dengan jurulatih itu pada 12 November lepas sebelum membuat keputusan berkenaan.

“Pada musim ini dia menggalas tanggungjawab sebagai pemangku jurulatih pasukan, namun Yusri bersetuju untuk menyambung kontrak setahun lagi sehingga 2019 bersama pasukan The Red Warriors selaku pengendali kelab.

“Ia satu keputusan positif (kepada pasukan) memandangkan kita mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk kembali ke Liga Super musim 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Musim ini Yusri diberikan kepercayaan mengemudi TRW sebagai pemangku jurulatih sebanyak dua kali selepas peletakan jawatan jurulatih dari Syria, Fajr Ibrahim pada pertengahan musim ini dan KAFA memecat jurulatih dari Thailand, Sathit Bensoh pada awal musim lalu.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Yusri pada musim ini termasuklah berjaya membawa pasukan Kelantan layak beraksi ke peringkat suku akhir Piala Malaysia. – BERNAMA