Connect with:




Teka-teki siapa yang bakal mengendali pasukan Kuala Lumpur akhirnya terjawab selepas penerima anugerah jurulatih persahabatan Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK18), Yusri Che Lah mengambil keputusan untuk bersama skuad Kuala Lumpur secara rasmi bermula musim depan.

Dalam pada itu, beliau dikatakan telah menerima tawaran daripada pasukan Kelantan bagi musim 2019 sebelum ini namun Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan mengakui bahawa Yusri Che Lah belum menandatangani apa-apa kontrak bersama mereka.

Menjawab mengenai dirinya yang tidak bersama Kelantan selepas ini, bekas pemain Perlis itu turut menafikan bahawa dia tidak pernah membuat sebarang perjanjian bersama Kelantan untuk membimbing pasukan itu pada musim depan.

“Saya sendiri mengambil keputusan untuk undur diri dan tidak mempunyai sebarang perjanjian dengan pengurusan Kelantan.

“Selain mahu mengembangkan karier saya, saya teruja dan optimis untuk mencipta kejayaan bersama Kuala Lumpur nanti.

“Saya tak dapat tahu lagi senarai penuh pemain Kuala Lumpur untuk musim depan, tetapi saya yakin ramai pemain hebat yang akan membarisi skuad The Hawks pada musim depan.

“Insya-Allah saya akan cuba sebaik mungkin untuk membimbing The City Boys menjadi antara lima pasukan terbaik musim depan,” katanya selepas dihubungi wartawan Dunia Sukan.

Sebelum ini, beliau mengambil alih kedudukan Ketua Jurulatih The Red Warriors pada pertengahan musim 2018  dan berjaya membawa pasukan ke suku akhir unifi Piala Malaysia.