Pasukan PETRONAS Syntium Yamaha mengumumkan pelumba Jepun, Yuki Ito akan beraksi untuk pasukan itu di dalam baki saingan Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) bermula di Litar Antarabangsa Penbay, Taiwan dari 12 hingga 14 Oktober ini menggantikan Ahmad Fazli Sham.

Keputusan itu berdasarkan kepada persembahan Ito yang memberansangkan apabila menggantikan Mohd Ramdan Mohd Rosli yang tercedera dan tidak dapat beraksi dalam saingan Pusingan 4 di Litar Autopolis, Jepun. Beliau mempamerkan aksi cemerlang untuk menaiki podium dua kali berturut-turut dalam kategori Supersports 600cc.

Kejayaan pelumba muda Jepun itu yang berjaya menamatkan saingan Pusingan 3 di Litar Zhuhai, China di tempat ketiga dua kali berturut-turut di atas tiket ‘wild-card’ turut menjadi faktor beliau ditawarkan tempat di dalam pasukan tajaan PETRONAS itu.

Ito kini menduduki tempat kelima keseluruhan kategori Supersports 600cc dengan mengutip 68 mata walaupun beliau tidak mengambil bahagian di Pusingan 1 (Litar Sepang, Malaysia) dan Pusingan 2 (Litar Sentul, Indonesia) dan hanya 44 mata di belakang pelumba MUSASHI Boon Siew Honda Racing, Azlan Shah Kamaruzaman yang berada di tempat keempat.

Juara bertahan, Katsuaki Fujiwara dari Pasukan Manual Tech BEET Kawasaki Racing terus menjadi pendahulu kategori ini selepas mengutip 162 mata. Seorang lagi pelumba pasukan MUSASHI Boon Siew Honda Racing, Ryuichi Kiyonari mengekori di belakang dengan jumlah 136 mata dan Mohd Zamri Baba dari Pasukan PETRONAS Hong Leong Yamaha berada di tempat ke tiga dengan 124 mata.

Koordinator Pasukan PETRONAS Syntium Yamaha, Melvin Tan yakin bahawa Ito akan membawa impak positif kepada pasukannya dengan bakat serta dedikasinya yang tinggi. Di samping itu ianya akan mengurangkan beban yang dipikul oleh rakan sepasukan, Mohd Zamri yang kini berjuang untuk merebut kejuaraan musim ini.

Sementara itu, Ito menyatakan peluang menyertai pasukan seperti PETRONAS Syntium Yamaha sudah lama dinantikan dan telah menjadikan tiket ‘wild-card’ di China dan Jepun dalam tahun 2011 dan 2012 sebagai persiapan awal.

Di samping itu Ito turut belajar menguasai Bahasa Inggeris untuk memudahkan beliau berkomunikasi dengan lebih baik dan pada masa yang sama menarik perhatian dari pasukan-pasukan serta para penaja.

Ito gembira usaha bersungguh-sungguhnya selama ini mula membuahkan hasil dan berharap ianya menjadi titik permulaan untuk beliau meraih lebih banyak kejayaan di masa hadapan.