Yamaha berharap pelumba memberikan hasil terbaik untuk baki perlumbaan

 

Hong Leong Yamaha Malaysia yakin pelumba-pelumba mereka berada di landasan tepat dalam misi memburu gelaran juara keseluruhan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim ini.

Selepas enam pusingan, dua pelumba di bawah pasukan Yamaha, Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) dan Mohd Hafiz Nor Azman (Team Mos Track Pro Yamaha Racing) kini mendahului kedudukan keseluruhan kategori CP115 dan Wira sekaligus berpeluang mempertahankan gelaran sama pada musim lepas.

Menjelang Pusingan 7 yang akan berlangsung di Kluang pada 22 dan 23 September ini, Pengurus Pemasaran Hong Leong Yamaha Malaysia, Voon Yin Kong yakin pelumba-pelumba mereka akan menunjukkan peningkatan dan aksi yang lebih konsisten.

Yin Kong Yakin Dengan Keupayaan Pelumba

 

“Kami mahu memastikan mereka tampil dengan lebih baik pada baki saingan perlumbaan musim ini. Selepas berehat panjang, kami mahu pelumba-pelumba mempunyai motivasi tinggi untuk kembali berlumba. Sebab itulah kami memilih untuk mengadakan Kem Motivasi Pelumba Yamaha ini,” jelas Voon ketika ditemui di majlis penutup Kem Motivasi Pelumba Yamaha yang disertai kira-kira 30 pelumba dan pengurusan pasukan di Awana Genting Resort, Genting Highland, 13 September lalu.

Voon menambah, “Berdasarkan pemerhatian dan maklum balas yang diterima, mereka semuanya berkebolehan, cuma ada kalanya mereka sekadar berfikir untuk menamatkan perlumbaan menyebabkan mereka tidak dapat memberikan aksi secara 100 peratus. Nampaknya mereka kini cukup bersemangat untuk memulakan perlumbaan semula. Kita harap agar banyak perubahan dapt ditunjukkan. Jika bukan untuk jangka masa pendek, mungkin kesannya dapat dilihat pada jangka masa depan,” jelas Voon.

Pelumba Yamaha Bersemangat Tinggi Selepas Menghadiri Kem Motivasi

 

Pelumba veteran dari pasukan Yamaha Maju Motor, Ahmad Fazli Sham yang turut menyertai kem motivasi tersebut berkata, “Sebagai antara pelumba paling berpengalaman diantara semua pelumba Yamaha, kem ini saya lihat dapat meningkatkan hubungan kekeluargaan diantara kami semua. Selain di padok, kami juga dapat saling bantu membantu sewaktu perlumbaan bagi meraih kemenangan di bawah kem Yamaha.

“Saya sendiri juga dapat merasai kesan menghadiri kem motivasi ini. Saya dapat menyedari apa yang sentiasa menjadi penghalang kepada saya untuk mencapai keputusan terbaik setiap kali  ke litar. Antara yang paling utama adalah kekuatan mental dan fizikal yang agak lemah, jadi saya akan berusaha untuk memperbaikinya,” jelas juara Expert dua kali itu sambil mencadangkan agar kem seperti itu diadakan dengan lebih kerap.