Connect with:




Meskipun terikat 2-2 dengan Vietnam pada aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2018 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melaungkan penuh keyakinan, skuad Harimau Malaya mampu mencipta kejutan pada final kedua di Hanoi, Sabtu ini.

Malaysia menjulang trofi kejuaraan itu buat kali pertama pada edisi 2010 dan andai skuad bimbingan Tan Cheng Hoe mampu mencipta kejutan pada perlawanan penentuan itu maka Harimau Malaya bakal menambah koleksi kejuaraan Piala AFF yang kedua.

Ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Tahunan dan Malam Anugerah Majlis Olimpik Malaysia ke-25, Syed Saddiq menegaskan beliau akan turun bersama-sama ‘ekor’ Harimau Malaya bagi menyaksikan pertembungan tersebut.

“Saya menaruh harapan tinggi serta yakin barisan negara mampu menang meskipun beraksi di tempat lawan.

“Saya menyeru semua peminat bola sepak tanah air untuk bersama-sama memberi sokongan padu tidak berbelah bagi kerana melalui sukan, ia dapat menyatupadukan rakyat pelbagai agama dan bangsa,” jelasnya.

Sebanyak empat pesawat sewa khas disediakan oleh syarikat tambang murah, AirAsia bagi membawa barisan penyokong Ultras Malaya ke Hanoi untuk perlawanan itu.

Menurut Syed Saddiq lagi ia adalah bertujuan membawa seramai mungkin penyokong negara ke Hanoi bagi memberi sokongan terhadap skuad bimbingan  Cheng Hoe itu.

“Kalau boleh kita mahu seramai mungkin hadir ke Hanoi untuk memberi sokongan dan buat yang tidak Hanoi, titiplah doa buat pasukan kebangsaan kita yang berjuang demi lencana dada,” ujarnya lagi.

Kali terakhir Malaysia layak ke pentas adalah pada edisi 2014 di mana Malaysia terpaksa akur tunduk di tangan Thailand.

Menerusi perkembangan lain, Syed Saddiq turut melaungkan keyakinan kuasa atlet muda mampu menyumbangkan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik, biarpun negara masih lagi mengharapkan tenaga atlet senior.

Antara atlet sandaran ialah Datuk Lee Ching Wei (badminton), Azizulhasni Awang (basikal trek) Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong (terjun).

Namun, beliau menyifatkan kebangkitan atlet muda seperti Goh Jin Wei (badminton) serta Shakila Sani Jefry Krisnan (karate) tidak boleh dipandang enteng kerana mereka juga mampu mencipta kejutan.

 

Foto : Instagram Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Sumber : Bernama