Connect with:




Kejayaan meraih tiga emas dan satu gangsa pada temasya Sukan Para Asia Jakarta yang berakhir Sabtu lalu nyata membakar semangat Ridzuan Puzi bagi mempertahankan pingat serta memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri bagi acara olaraga 100 meter (m) T36 (Cerebral Palsy) di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 nanti.

Ketika ditemui pemberita, Ridzuan turut melahirkan hasrat ingin menyertai satu atau dua lagi acara samada lompat jauh, 200m atau 400m.

Atlet yang lebih mesra dengan panggilan Dik Wan itu berkata beliau akan melakukan yang terbaik serta bersungguh-sungguh sepanjang sesi latihan dibawah kendalian jurulatih, R Jeganathan.

“Jika latihan yang saya lalui mencukupi serta tiada masalah kecederaan membelenggu pada hari perlumbaan sebenar, saya yakin boleh meraih emas dalam acara 100m dan lompat jauh,” ujarnya.

Ridzuan merekodkan catatan masa 11.87 saat (s) sekaligus mengetepikan catatan atlet Russia, Evgenii Shvetsov (11.90s) bagi mengesahkan pingat emas acara 100m T36 Sukan Para Asia 2018 menjadi miliknya.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, Ridzuan nyata tidak dapat menahan sebak apabila mengalirkan air mata kegembiraan sebaik bertentang mata dan memeluk kedua ibubapanya, Lailah Salleh dan Mohamad Puzi Mat Ali.

Dik Wan nyata tidak mampu menahan rasa gembira dengan kehadiran bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar apabila sekali lagi mengalirkan air mata setelah memeluk Ahli Parlimen Rembau itu yang menanti seawal 6.30 petang bagi menyambut kepulangannya dan wira-wira negara yang lain.

Bapa Ridzuan yang baru tiba di tanah air setelah selesai mengerjakan umrah di kota suci Mekkah menyatakan rasa syukur ke hadrat Illahi diatas kejayaan yang cukup bermakna buat anaknya itu.

“Saya amat bersyukur serta terharu dengan pencapaian beliau (Ridzuan), sepanjang menunaikan umrah memang saya sentiasa berdoa kepada Allah agar anak saya dapat mencipta kejayaan gemilang di Sukan Para Asia,” katanya.

Turut menyambut kepulangan Ridzuan adalah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang menanti bersama-sama ibubapa serta keluarga terdekat Ridzuan.

 

FOTO : FACEBOOK MAJLIS SUKAN NEGARA

SUMBER : BERNAMA