Connect with:




Badan ragbi dunia, World Rugby baru-baru ini telah melancarkan kempen global ‘Try And Stop Us’ bagi menggalakkan penyertaan golongan wanita dalam sukan tersebut.

Menurut World Rugby, sukan ragbi merupakan antara sukan berpasukan paling cepat berkembang di dunia dan kejayaan tersebut dipengaruhi oleh minat yang cukup tinggi dalam kalangan wanita.

Dalam kempen tersebut, 15 pemain dari seluruh dunia berkongsi kisah dan pengalaman sendiri mengenai penyertaan mereka dalam sukan ragbi. Salah seorang pemain yang menjadi bintang utama kempen tersebut ialah pemain kebangsaan, Norfarahana Aziz.

Norfarahana menceritakan bagaimana perjalanan karier ragbinya bermula selepas beralih arah dari sukan silat. Paling menarik pastinya perkongsian terhadap persoalan yang sering kali ditanyakan kepada dirinya – “Tak susah ke main ragbi pakai tudung?”

Bagi Norfarahana yang merupakan pemain wanita bertudung pertama mewakili negara, menggunakan headgear, ia tidaklah sesukar mana malah semakin hari semakin ramai wanita bertudung di Malaysia mula mendekati sukan ragbi. Ia jelas menunjukkan bertudung langsung tidak menggangu pemain beraksi dalam sukan yang lasak ini.

Banyak lagi perkara menarik yang dikongsikan Norfarahana antaranya penglibatan dengan Cobra Venom, bagaimana dia yang berasal dari kawasan luar bandar menyesuaikan diri di Kuala Lumpur serta bagaimana ayahnya menjadi sumber inspirasi buat dirinya. Anda boleh membacanya di laman web khas yang diwujudkan World Rugby untuk kempen ini iaitu www.women.rugby