Tiger Woods akan memulakan saingan di dalam kumpulan sama dengan empat daripada tujuh pemain teratas dunia apabila Terbuka Farmers Insurance menyingkap tirainya Khamis ini.

Pemain Sepanyol, Jon Rahm yang menduduki ranking ketiga dunia serta juara bertahan di Torrey Pines dan pemain nombor lima dunia dari Jepun, Hideki Matsuyama adalah antara kelompok atasan yang akan beraksi termasuk pemain nombor enam, Justin Rose dan nombor tujuh, Rickie Fowler.

Bekas pemain nombor satu dunia, Jason Day dari Australia dan juara lima kejohanan utama, Phil Mickelson turut menyertai kejohanan berkenaan.

Sudah agak lama Woods tidak bersaing dengan pemain kelompok atas tetapi bekas juara kejohanan utama sebanyak 14 kali itu pastinya tidak mahu tumpuan untuk menjulang gelaran di Jelajah AS PGA terjejas sejak dia kembali bermain akibat kecederaan yang mengakibatkan dia tidak beraksi selama hampir 10 bulan.

Woods menamatkan saingan di kedudukan kesembilan ketika Cabaran Wira Dunia di Bahamas, Disember lalu dan itu adalah pertandingan pertama yang menyaksikan dia bermain tanpa dibelenggu kesakitan.

Dia pernah bergelar juara di Torrey Pines sebanyak lapan kali, tujuh daripadanya adalah acara Jelajah AS PGA serta Terbuka AS 2008.

Ia adalah kejayaan terakhir Woods bagi kejohanan utama dan usahanya untuk menyamai rekod 18 kejohanan utama yang dipegang Jack Nicklaus sedikit terjejas gara-gara beberapa siri kecederaan.

Ketika beraksi di Torrey, Januari tahun lalu, Woods gagal melepasi cut selepas mengadu sakit belakang dan langsung tidak dapat bermain selama lebih sebulan.

Untuk persiapan kali ini, Woods mengadakan perlawanan persahabatan dengan bekas presiden AS, Barack Obama di Florida minggu lalu.

Selepas aksi di Torrey nanti, Woods merancang untuk bermain di Terbuka Genesis di Kelab Golf dan Country Riviera di Los Angeles sebelum menyiapkan diri ke Masters, April ini.

Sumber: AFP

Foto Kredit: Augusta National