Kejayaan wira dan wirawati Negara yang cemerlang pada Sukan SEA ke 29 dan Sukan Para ASEAN ke 9 dirai pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang diadakan di Arena Axiata, Bukit Jalil.

Pada Sukan SEA Ogos lalu, kontinjen Negara muncul juara keseluruhan selepas meraih 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa, manakala di Sukan Para ASEAN pula, Malaysia muncul naib juara dengan 90 emas, 85 perak dan 84 gangsa.

Insentif kemenangan disampaikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, diiringi Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin.

Majlis ini juga turut menghargai pemenang pingat perak dan gangsa dimana mereka turut diberikan insentif khas. Insentif ini bukan sahaja untuk menghargai pencapaian mereka malah menjadi dorongan kepada atlet-atlet untuk terus mengekalkan momentum prestasi di temasya serta kejohanan akan datang.

Atlet renang, Welson Sim dan ratu gimrama, Koi Sei Yan di pilih atlet lelaki dan wanita terbaik Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Welson memenangi 2 pingat emas 1 perak dan 1 gangsa serta mencipta dua rekod baru kejohanan dalam acara 200 dan 400 meter gaya bebas menerima RM33,000.

Koi Sei Yan pula cemerlang meraih 4 pingat emas iaitu dua dalam acara aparatus gelung dan belantan, selain emas berpasukan dan emas individu keseluruhan untuk menerima insentif tertinggi berjumlah RM49,500.

Sementara, permata baharu olahraga, S.Thavanesvaran dipilih selaku atlet lelaki terbaik para selepas menghadiahkan 3 pingat emas dan satu perak di Sukan Para ASEAN September lalu.

Atlet dari Segamat, Johor itu yang beraksi dalam acara 100 meter, 200 meter dan 400 meter kategori T44 menerima RM40,750.00

Manakala atlet berbasikal para, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais menerima anugerah atlet wanita terbaik para.

Beliau yang membuat penampilan sulung di Sukan Para ASEAN berjaya menggondol 4 pingat emas dan 1 perak untuk membawa pulang insentif bernilai RM53,000.

Insentif kepada atlet-atlet yang berjaya memenangi pingat di Temasya Sukan SEA ke 29 berjumlah RM3,643,750.00, manakala RM1,891,000.00 diperuntukkan untuk pemenang-pemenang pingat Sukan Para ASEAN ke 9.