Nasib berbeza di hari kedua buat dua ‘skipper’ yang mengimpikan kejuaraan Jelajah ‘Match Racing’ Dunia ALPARI (AWMRT) 2012 di muara Sungai Terengganu hari ini.

Pendahulu keseluruhan Bjorn Hansen yang bermula dengan langkah kiri dengan dua kekalahan semalam masih lagi mencari rentak untuk mempastikan tempat beliau di peringkat suku akhir Piala Monsun 2012. Namun kemenangan ke atas rakan senegara Johnie Berntsson, Larie Jury dan David Gilmour membolehkan beliau menamatkan hari kedua ini di tempat ke tujuh dan masih berpeluang untuk mara ke peringkat tersebut.

Juara bertahan Ian Williams pula dipaksa bekerja keras di hari pertama dia turun ke muara Sungai Terengganu hari ini tetapi pengalamannya serta kerjasama krew GAC Pindar yang kemas membolehkan beliau memenangi semua perlumbaan tersebut untuk menamatkan hari ini sebagai pendahulu carta kelayakan dengan rekod 5-0.

Pendahulu semalam, Taylor Canfield meneruskan persembahan baiknya dengan mencatatkan dua lagi kemenangan hari ini ketika bertemu dengan Pierre-Antoine Morvan dan Phil Robertson.

Namun hajat beliau untuk mencatat kemenangan ke lima berturut-turut dihampakan dalam perlumbaan terakhir apabila Keith Swinton berjaya menewaskan beliau.

Swinton yang berpeluang untuk turut muncul sebagai juara AWMRT 2012 menamatkan hari pertamanya dengan rekod 4-1, meletakkan pasukan Black Swan Racing dalam posisi yang baik untuk layak ke peringkat kalah mati.

Turut memberi cabaran ialah Dato’ Peter Gilmour bersama pasukan YANMAR Racing yang memulakan hari ini dengan kekalahan kepada Adam Minoprio tetapi mempamerkan kebangkitan dengan memenangi tiga pelumbaan berikutnya untuk menamatkan hari kedua kelayakan dengan rekod 4-2.

Minoprio dan Morvan menamatkan hari ini dengan masing-masing mencatatkan tiga kemenangan tetapi juara Piala Monsun dan juara WMRT 2009 itu hanya baru bertanding sebanyak lima kali sahaja setakat ini, kurang satu perlumbaan dari ‘skipper’ Vannes Agglo Sailing Team itu.

Sementara itu pasukan KFC Malaysia/KRT masih lagi mencari kemenangan pertama dalam sejarah mereka bertanding dalam Piala Monsun ini. Selepas tewas kepada Canfield dan Minoprio semalam, hari ini Jeremy Koo gagal untuk memberi cabaran ketika bertemu dengan Berntsson, Williams dan Laurie Jury dan menghuni tempat tercorot dengan rekod 0-5.