Ian Williams mengesahkan kejuaraan Jelajah ‘Match Racing’ Dunia ALPARI (AWMRT) 2012 menjadi miliknya apabila berjaya menewaskan Bjorn Hansen dalam pertemuan suku akhir Piala Monsun di Muara Sungai Terengganu petang tadi. Williams bersama krew Team GAC Pindar kini tidak dapat dipintas lagi oleh mana-mana pencabar beliau dan beliau kini menghalakan sasaran untuk memenangi Piala Monsun pula.

Pemenang tiga kejuaraan dunia sebelum ini telah dipilih oleh Hansen sebagai lawannya dalam peringkat suku akhir. Ianya ialah strategi ‘skipper’ Mekonomen Sailing Team itu yang sekiranya berjaya akan membawa beliau semakin hampir kepada kejuaraan dunianya yang pertama. Strategi itu kelihatan berjaya apabila Hansen berjaya memenangi perlawanan pertama walaupun dikenakan penalti ketika pra-permulaan.

Namun krew Williams ternyata berjaya menangani tekanan pertandingan dan berjaya memaksa Hansen melakukan banyak kesilapan yang akhirnya menyaksikan impian beliau untuk bergelar juara dunia musnah apabila tewas dalam tiga perlawanan berikutnya. Kemenangan 3-1 menyaksikan Williams mara ke peringkat separuh akhir yang akan dijalankan esok.

Hansen nyata kecewa dengan persembahannya hari ini berazam untuk kembali semula dengan lebih kompetitif di musim yang akan datang untuk mencapai impiannya muncul sebagai juara dunia.

Sementara itu Peter Gilmour yang mengungguli pusingan kelayakan telah memilih untuk bertemu dengan anaknya David di suku akhir berjaya membuktikan bahawa masih banyak yang perlu anaknya pelajari sebelum berjaya menjejak langkahnya untuk menjadi seorang ‘skipper’ yang terkemuka.

Walaupun David berjaya menewaskan ayahnya dalam perlumbaan pertama apabila berjaya memaksa Peter melakukan kesilapan sewaktu pra-permulaan dia gagal menandingi pengalaman ayahnya dalam tiga perlumbaan berikutnya. Keputusan 3-1 membawa Peter Gilmour menghampiri kejuaraan Piala Monsunnya yang ketiga.

Keith Swinton yang memilih untuk bertemu Taylor Canfield terpaksa menerima hakikat bahawa ‘skipper’ pasukan US One itu mempamerkan persembahan yang kemas dan tidak tewas terhadap tekanan beraksi dalam Piala Monsunnya yang pertama. Canfield berjaya membuat permulaan yang baik dalam tiga perlawanan berikutnya selepas Swinton berjaya menewaskannya dalam perlawanan pertama.

Seorang lagi ‘skipper’ yang berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir esok ialah Phil Robertson yang dipaksa bekerja keras oleh Pierre-Antoine Morvan dalam pertemuan mereka.

Morvan bersama Vannes Agglo Sailing Team berjaya mendahului sebanyak dua kali tetapi Robertson bekerja keras untuk menyamakan kedudukan setiap kali sebelum memenangi perlawanan penentuan. Robertson yang mengungguli pusingan kelayakan tahun lepas tetapi ditewaskan oleh Peter Gilmour di peringkat suku akhir memenangi perlawanan 3-2 untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala Monsun buat kali pertama.

KEPUTUSAN SUKU AKHIR

Peter Gilmour (YANMAR Racing) 3
David Gilmour (Team Gilmour) 1

Bjorn Hansen (Mekonomen Sailing Team) 1
Ian Williams (Team GAC Pindar) 3

Keith Swinton (Black Swan Racing) 1
Taylor Canfield (US One) 3

Phil Robertson (WAKA Racing) 3
Pierre-Antoine Morvan (Vannes Agglo Sailing Team) 2