Connect with:




Momen indah terpahat di ingatan buat pasukan bola sepak muda Thailand yang pernah menggemparkan dunia dalam insiden terperangkap dalam gua bawah tanah selepas mereka dihadiahkan layanan istimewa VIP di stadium Old Trafford bagi menyaksikan perlawanan Manchester United menentang Everton, semalam.

Sebahagian daripada pasukan Wild Boars yang turut menjadi tetamu kehormat menghadiri pusat latihan United pada Sabtu lalu dan teruja apabila mereka dapat bertemu beberapa pemain handal seperti Paul Pogba, Ander Herrera termasuk jurulatih, Jose Mourinho.

 

Insiden menyayat hati pada Jun lepas yang menyaksikan semangat juang 12 pemain muda dari kelab “Wild Boars”, berusia antara 11 dan 16 tahun, dan jurulatih mereka menghabiskan masa selama 17 hari terperangkap di bawah tanah sebelum diselamatkan dalam operasi dari beberapa buah negara.

Lebih menyedihkan, insiden berkenaan turut memakan nyawa seorang penyelamat yang maut dalam usaha menyelamatkan pemain tersebut.

Selepas pulih dari rawatan mereka, Wild Boars telah dibanjiri dengan jemputan dari seluruh dunia.

 

12 pemain serta pegawai yang terlibat juga diberikan tempat duduk khas untuk menyaksikan perlawanan tersebut. (Foto/Dave Thompson)

Mereka muncul dalam sebuah rancangan televisyen terkemuka Amerika Syarikat, Ellen Show awal bulan ini, dan juga ke Argentina bagi menonton Sukan Olimpik Belia di Buenos Aires.

Dalam pada itu, 12 pemain disertai dua jurulatih, ahli keluarga dan pegawai kerajaan Thailand Werachon Sukondhapatipak, yang memakai selendang merah putih dan juga jaket berwarna hitam menerima sambutan hangat selepas diperkenalkan kepada penyokong sebelum sepak mula berlangsung.

Selain dipeluk Mourinho dan diberikan cenderahati, mereka juga sempat beramah mesra bersama bekas pemain Manchester United, Eric Cantona.