Connect with:




Welson Sim Wee Sheng atau lebih dikenali dengan Welson Sim dalam sukan akuatik iaitu sukan renang, baru berusia 22 tahun tetapi beliau telah berjaya mencipta beberapa rekod baharu kebangsaan serta Asia Tenggara.

Semalam, perenang kelahiran Sarawak itu telah memberi saingan terhadap nama-nama besar di kolam renang Australia apabila menjadi pemain Malaysia pertama yang berada di bawah catatan masa 50 saat dalam gaya bebas 100m lelaki.

Beliau berjaya mencatat masa 49.98 saat ketika Kejohanan Renang Australia di Adelaide untuk memecahkan rekod kebangsaan milik dirinya sendiri iaitu 50.03 saat yang dicatat tiga bulan lalu di Sukan Universiti Asean (AUG) di Myanmar.

Dalam kejohanan itu Welson menduduki tempat ke-10 daripada 91 perenang dalam pemanasan acara 100m gaya bebas. Welson kini menjadi pemegang rekod Malaysia dalam gaya 100m, 200m, 400m dan 800m, hanya dibenarkan berenang dalam pemanasan kerana dia bukan warga negara Australia.

Tetapi pernah atau tidak anda mengetahui siapa Welson Sim sebelum beliau bergelar bintang sekarang. Welson Sim sebenarnya mempunyai asma menyebabkan beliau tidak mampu mampu aktif seperti rakan-rakannya yang lain. Pada usia 11 tahun ada seseorang mencadangkan sukan renang kepada ibunya, menyatakan bahawa ia akan membantu menguatkan paru-paru Welson. Setelah itu, Welson kemudian jatuh cinta dengan air dan memutuskan untuk mengambil sukan berenang secara kompetitif.

Welson Sim

Walaupun sukan renang tidak begitu popular berbanding sukan-sukan lain di Malaysia, Welson tetap menikmati latihan dan perlumbaan kerana baginya berenang sebagai semangat. Beliau juga seorang yang sangat kompetitif dan suka rasa kemenangan dan itulah sebabnya Welson berusaha untuk menjadi perenang terbaik di negara ini.

Beliau juga turut menyumbang tiga pingat emas, lima perak dan dua gangsa kepada Malaysia dalam Sukan SEA. Satu emas diraih pada Sukan SEA Singapura 2015 dalam acara 400m gaya bebas dan dua emas diraih pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam acara 200m dan 400m gaya bebas.

Dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Welson turut memecahkan rekod kejohanan dalam acara 200m gaya bebas dengan catatan satu minit 47.79 saat serta rekod 400m gaya bebas dengan catatan tiga minit 50.26 saat.

Pada 2019, Welson meneruskan aksi cemerlang selepas memperbaharui rekod kebangsaannya sendiri dalam acara 400 meter gaya bebas lelaki pada Kejohanan Terbuka Negeri NSW 2019 di Sydney, Australia bulan lepas. Beliau mencatatkan tiga minit 49.29 saat, 0.19 saat lebih pantas daripada rekod sebelumnya tiga minit 49.48 saat yang dicipta pada Kejohanan Renang Jelajah Mare Nostrum 2017 di Monaco.

Bukan hanya rekod individu yang berjaya Welson pecahkan tetapi juga rekod berpasukan juga turut berjaya diperbaharuinya sebagai contoh ketika Sukan Asia di Indonesia, kuartet renang 4×100 lelaki turut perbaharui rekod kebangsaan yang diangotai oleh Welson Sim, Lim Kit Sern, Chan Jie, Fong Wei Tze itu mencatat kepantasan tiga minit 21.06 saat untuk memadam rekod lama tiga minit 21.79 saat yang dilakar pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017

Kini Welson sedang berusaha untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara 200m dan 400m gaya bebas. Kejohanan kebangsaan Australia adalah pertemuan terakhir untuk Welson sebelum dia kembali mengambil bahagian dalam Terbuka Malaysia di Bukit Jalil mulai 23-28 April nanti. Welson kini menjadi salah satu prospek emas negara dalam sukan renang terutamanya ketika termasya sukan Olimpik, Asia dan Komenwel.

Foto: DSA Swim Team