Nick Watney memukau para peminat golf di The Mines Resort and Golf Club, Seri Kembangan apabila mencatatkan 61 pukulan, 10 di bawah par di hari terakhir Pertandingan Golf CIMB Classic 2012 untuk muncul sebagai juara dan membawa pulang wang hadiah USD$1.3 juta.

Pemain yang berusia 31 tahun itu menahan asakan dari juara bertahan, Bo Van Pelt yang menamatkan cabaran di tempat kedua yang dikongsinya bersama dengan Robert Garrigus dengan catatan lebih satu pukulan dari Watney. Van Pelt berpeluang untuk memaksa permainan berlanjutan ke ‘play-off’ tetapi beliau gagal berbuat demikian hanya mampu mencatat ‘par’ sahaja di lubang ke 18.

Watney bermula dengan garang apabila mencatatkan tujuh ‘birdie’ di dua belas lubang pertamanya. Beliau meneruskan persembahan cemerlangnya dengan catatan ‘birdie’ di lubang 13, 15, 16 dan 17 membolehkan Watney berada dalam posisi yang baik untuk mencatatkan 59 pukulan.

Namun tekanan mula dirasai oleh warga Amerika Syarikat itu dan Watney hanya mampu mencatat ‘bogey’, satu-satunya catatan sedemikian di lubang terakhir untuk menamatkan permainan dengan 262 pukulan, 22 di bawah par.

Ini ialah kemenangan ke enam dalam karier Jelajah PGAnya, dan yang kedua tahun ini selepas memenangi Kejohanan ‘Play-off’ Piala FedEx, The Barclays dalam bulan Ogos yang lalu di Bethpage Black, New York.

Pemenang 14 gelaran ‘major’, Tiger Woods yang sentiasa diikuti oleh sebilangan besar para peminat golf yang hadir tidak mengecewakan para peminatnya dengan persembahan yang bertenaga. Beliau mencatatkan enam ‘birdie’ di sepuluh lubang pertama untuk meletakkan dirinya sebagai pencabar selepas berada lima pukulan di belakang.

Namun cabarannya tidak mampu bertahan dan Woods hanya mampu mengutip dua lagi ‘birdie’ di tiga lubang terakhirnya untuk menamatkan permainannya dengan catatan 63 pukulan. Beliau berkongsi tempat ke empat bersama Brendon De Jonge dan Chris Kirk.