Seorang wartawan sukan memukul penyokong lelaki dalam suatu temuramah menggunakan mikrofonnya selepas lelaki tersebut bertindak menyentuh punggungnya ketika dia bersiaran langsung.

Wartawan Fox Sports Mexico, Maria Fernanda Mora ketika itu membuat liputan tentang suasana penyokong-penyokong secara langsung di luar stadium Guadalajara semasa insiden itu berlaku.

Menurut Daily Mail, kawasan itu sangat ramai dan penyokong menunjukkan semangat mereka yang luar biasa sejurus pasukan tempatan baru sahaja menumpaskan pasukan Toronto.

Namun, seorang penyokong meraikan sambutannya dengan cara yang kurang senang apabila Mora mendakwa dia menyentuh punggungnya dengan sengaja ketika semua orang sedang melompat bersorak.

Mora yang kelihatan bengang terus berpusing ke belakang dan memukulnya dengan mikrofon sekaligus mengejutkan peminat bola sepak yang lain.

Dalam satu kenyataan di Twitter, Mora berkata bahawa dia tidak menyesali reaksinya ‘sama sekali’, sambil menambah bahawa wanita ‘tidak akan diam’ sekiranya ia membabitkan gangguan seksual.

Kenyataan itu, yang membahas kejadian rersebut berlaku pada 26 April, berkata: “Apa yang berlaku kepada saya pada awal Khamis lalu berlaku kepada ribuan wanita setiap hari di tempat awam.

“Perbezaannya adalah bahawa ia berlaku kepada saya semasa saya sedang bersiaran langsung di Televisyen seterusnya saya memutuskan untuk mempertahankan diri. Reaksi saya ketika itu terus menjadi viral.

“Pada mulanya, saya fikir, dia mungkin melakukan secara tidak sengaja kerana ramai orang yang menolak dan saya terus bercakap di depan kamera.

“Lelaki itu sangat berani kerana saya tidak bertindak balas dan terus melakukan tugas saya. Namun, dia tidak serik dan terus meletakkan tangannya di belakang punggung saya lebih daripada dua kali.

“Saya harus mempertahankan diri saya dan memutuskan untuk memukulnya dengan mikrofon yang saya pegang.

“Saya tidak menyesal sama sekali dengan tindakan saya lakukan kerana saya pernah mengalami gangguan seksual yang mempengaruhi etika kerja kewartawanan saya,” jelas Mora.

Dari sudut lain, sesetengah pengguna Twitter telah mengecam Mora kerana ingin membesarkan isu dan mempopularkan dirinya.

Walau bagaimanapun, Bild melaporkan bahawa beberapa penyampai tv Mexico yang mempunyai profil tinggi menyokong tindakan Mora, sementara ramai pengguna Twitter lain juga telah memberikan kenyataan solidariti sokongan kepada Mora.

Foto Kredit @marifermora90