Para peserta program Fit Malaysia di Bagan Datoh, Perak pagi tadi dikejutkan dengan kematian seorang warga emas yang mati mengejut dipercayai akibat serangan jantung.

Allahyarham Osman Oda, 63 tahun sedang menyertai program kayuhan Fit Malaysia seejauh 30km mengalami sesak nafas sebelum dibantu dua pegawai perubatan ke klinik Hutan Melintang.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata pihaknya menerima laporan sekitar 10.29 pagi berkenaan insiden tersebut.

“Pihak polis menerima laporan bahawa mangsa disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Hutan Melintang dan dijadikan maklumat awal.

“Bantuan kecemasan diberikan namun mangsa gagal diselamatkan dan pegawai perubatan mengesahkan punca kematian adalah serangan jantung,” dipetik dari portal Suara Perak.

Tambah Wan Hassan, pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati tiada sebarang kesan kecederaan dan unsur-unsur jenayah yang berlaku. Mangsa juga dikatakan mempunyai sejarah sakit jantung dan menerima rawatan beberapa kali di Institut Jantung Negara (IJN) hampir selama setahun.