Connect with:




adidas Malaysia terus menunjukkan sokongan serta dorongan kepada pemain muda sukan bola sepak. Kali ini jenama sukan terkenal dunia itu telah menandatangani perjanjian selama satu tahun bersama pemain berbakat besar, Wan Kuzain Wan Kamal yang sedang beraksi di Swope Park Rangers dalam saingan United Soccer League (USL), Amerika Syarikat.

Dengan termeterainya perjanjian tersebut, ini bermakna pemain muda kelahiran Amerika Syarikat berusia 19 tahun kini antara pemain dibawah umur 23 tahun yang “diikat” adidas selepas beberapa pemain B-23 Kebangsaan seperti Akhyar Rashid, Syamer Kutty, Adam Nor Azlin, Muhammad Jafri, Adib Zainudin dan Haziq Nadzli telah bersama jenama itu.

Penajaan Kuzain yang ibu bapanya merupakan anak kelahiran Malaysia menyaksikan pemain itu akan dibekalkan dengan produk terbaru adidas bagi kegunaannya di atas padang seiring dengan hasrat adidas untuk melihat karier selaku pemain terus berkembang dan mendapatkan pengalaman lebih baik melalui adidas.

Pemain itu yang merupakan produk Sporting Kansas City Academy memulakan karier dengan Southern Illinois Futbol Club (SIFC – Force) sebelum dia berpindah ke akademi Saint Louis FC. Dia juga pernah dipanggil menjalani latihan dengan kelab terkenal dari Belanda, Feyenoord FC.

Bakat yang dimiliki oleh pemain muda itu berjaya menarik perhatian barisan kejurulatihan Sporting Kansas City dan pada bulan Julai lepas, dia telah pun menandatangani kontrak profesional pertama bersama pasukan feeder mereka, Swope Park Rangers. Sehingga kini, Kuzain telah pun membuat 12 penampilan bersama pasukan itu dengan bermain di posisi tengah.

“Saya amat berterima kasih kepada adidas Malaysia di atas kepercayaan mereka terhadap potensi saya. Dengan penajaan ini, saya akan lebih bermotivasi untuk membawa permainan saya kepada tahap yang lebih tinggi dan mencapai cita-cita saya untuk bermain di liga profesional Amerika bersama pasukan Sporting Kansas City dalam Major League Soccer (MLS),” ujar Kuzain yang benar-benar mahu menjadikan impiannya satu kenyataan.

Dengan pilihan untuk mewakili pasukan Malaysia atau Amerika Syarikat masih lagi terbuka, Kuzain lebih fokus untuk meningkatkan permainan individunya sebelum memilih negara mana yang bakal diwakilinya.

Tan Zhi Vern, selaku Pengurus Komunikasi Jenama dan Pemasaran Sukan untuk adidas Malaysia berkata: “Kami amat bersukacita untuk mengumumkan penajaan ini bersama Wan Kuzain. Ini menunjukkan kepercayaan kami yang ingin menanamkan mentaliti kemenangan di kalangan pemain muda dalam sukan bolasepak. Kami di adidas ingin memberikan yang
terbaik untuk para atlet (pemain bola sepak) dan kami ingin membantu pembangunan bakat-bakat muda. Ini dapat dilihat melalui penajaan adidas kepada golongan pemain muda dalam Liga Super Malaysia (MSL) serta juga menjadi pembekal pakaian rasmi untuk Program Pembangunan Bolasepak Nasional (PPBN).”

Kuzain yang mengikat kontrak bersama Swope Park Rangers untuk musim 2018, sudah pulang ke Amerika Syarikat di mana dia mensasarkan untuk membantu pasukannya memenangi Conference Championship untuk tiga musim berturut-turut selepas memenangi Western Conference pada tahun 2016 dan 2017 sekaligus layak ke final USL Cup.