Kumpulan dari Malaysia, HAGA-A, yang dianggotai oleh Kamarulzaman Kamaruddin, Wan Shariman Abd Rashid, Mohammed Zambre dan Zulkafali Ariffin, muncul Juara pusingan ke-4 Kejohanan Golf Amatur Berkumpulan Dunia WAITGC 2012 yang berlangsung di bandar Kuching, Sarawak.

HAGA-A mencatatkan 228, 238, 239 dan 234 pukulan untuk mengumpul 939 pukulan, 5 pukulan di hadapan pasukan Lapor Po Tigers dari Brunei Darul Salam.

Keadaan cuaca panas dan kering tidak menghalang pasukan HAGA-A untuk bermain cemerlang di lapangan 6,394 meter, Matang dan Santubong yang direka oleh Nigel Douglas di Kelab Golf Sarawak walaupun diberi tentangan sengit oleh pasukan Lapor Po Tigers.

Lapor Po Tigers yang diwakili oleh Seruji Hj Setia, Pengiran Adan Pengiran Atan, Haji Shaminan Haji Damit dan Ali Haji Rashid bagaimana pun terpaksa berpuas hati di tempat kedua apabila sekadar mencatatkan 233, 238, 240 dan 233 pukulan untuk catatan keseluruhan 944.

Menurut wakil kumpulan HAGA-A, Kamarulzaman Kamaruddin, keadaan cuaca yang panas memberi sedikit kelebihan kepada wakil Malaysia yang telah biasa bermain di dalam cuaca panas berbanding dengan pasukan-pasukan dari negara lain.

Sementara itu bagi kategori Stableford, pasukan Yuyu Depenyu dari Brunei muncul Juara apabila mencatatkan 442mata. Yuyu Depenyu yang diwakili oleh Haji Ajaman Haji Daud, Pengiran Hj Zulkifli Pengiran Hj Besar, Hariel Hj Simpol dan Hj Sabruh Hj Naweh menewaskan pasukan HANS2 dari Singapura yang mencatatkan 409mata.

Seramai 20 pasukan dari Australia, Brunei, Singapore, Thailand dan Malaysia mengambil bahagian dalam pusingan kali ini. 2 pasukan teratas bagi kategori gross dan nett secara automatik layak untuk bermain di Pusingan Akhir Kejohanan yang akan diadakan di Kelab Golf Royal Perak, Ipoh, Perak Darul Ridzuan pada 6-8 November 2012.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Perbandanan Pelancongan Malaysia sejak tahun 1994, menjadi satu lagi daya tarikan untuk membawa para pelancong luar datang ke Malaysia. Sejak diperkenalkan 18tahun dahulu, WAITGC telah mendapat sambutan menggalakkan dari peminat-peminat golf seluruh dunia. Para pemain bukan sahaja bertanding dalam kejohanan golf tetapi kehadiran mereka disajikan dengan pelbagai aktiviti lain yang antaranya memperkenalkan budaya masyarakat setempat, tradisi, masakan tempatan dan banyak lagi.