Connect with:




Menjelang pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) antara Liverpool menentang Huddersfield Town esok, pengendali Huddersfield, David Wagner meramalkan lawan mereka itu akan menurunkan kesebelasan terkuat dan beliau yakin rakan baiknya, Juergen Klopp cuba menyembunyikan kekuatan sebenar pasukan yang berpangkalan di Anfield itu disebalik masalah kecederaan yang dihadapi.

Menurut Wagner, beliau enggan percaya Liverpool bakal turun tanpa beberapa tonggak utama seperti Mohamed Salah (pangkal peha), Virgil Van Dijk (rusuk) dan Naby Keita (otot) yang mengutip kecederaan ketika menjalankan tugas bersama skuad negara masing-masing.

Seorang lagi pemain sayap Liverpool turut mengalami kecederaan adalah Sadio Mane yang telah menjalani pembedahan tangan dan peluang untuk beliau beraksi ketika The Reds berkunjung ke Stadium John Smith’s tampak samar.

Bercakap mengenai Klopp yang merupakan bekas rakan sepasukannya di kelab Jerman Mainz pada era 90-an,Wagner berkata rakan baiknya itu mungkin cuba memainkan taktik lama yang selalu beliau gunakan.

“Saya cukup kenal Juergen, dia kawan baik saya dan saya tahu beliau amat gemar mengaburi penilaian pihak lawan, kebanyakkannya, beliau berhasil.

“Bagi saya, jangan percaya apa yang kalian baca, itu mungkin sebahagian daripada taktikal Juergen dan saya fikir beliau akan mengembalikan kesebelasan terkuatnya Sabtu ini,” jelas Wagner yang pernah membimbing pasukan kedua Borussia Dortmund pada saat yang sama Klopp membimbing skuad senior.

Huddersfield dilihat masih mempamerkan aksi terumbang-ambing setakat ini dengan menduduki kelompok tiga terbawah serta masih mengekalkan rekod tanpa kemenangan setakat ini.

Sementara Liverpool yang berbelanja besar pada jendela perpindahan yang lalu tampil garang pada saingan liga musim ini apabila berjaya memungut 20 mata menerusi lapan perlawanan yang menyaksikan mereka belum tewas dalam saingan liga dan menduduki kelompok tiga teratas.

 

Sumber : Channel NewsAsia

Foto : GOAL