Connect with:




Judul permainan bolasepak keluaran EA Sport, FIFA 20 akan muncul di pasaran pada September nanti. EA Sport seperti biasa sentiasa membawa cabaran baharu kepada para pemain.

Kali ini, pemain akan berpeluang menguji mode VOLTA – sesuatu yang mungkin akan mengingatkan anda terhadap satu lagi judul popular pernah dikeluarkan FIFA iaitu FIFA Street.

VOLTA yang membawa maksud ‘Kembali’ dalam bahasa Portugis adalah mode ‘street’ atau jalanan berbanding beraksi di atas padang.

Menurut Pengarah Kreatif FIFA 20, Matt Prior, mereka telah membuat kaji selidik dan mendapati mode jalanan adalah permintaan tertinggi yang disuarakan penggemar siri permainan FIFA.

Cara permainan dalam VOLTA adalah tetap sama namun terdapat beberapa ciri berbeza yang membuatkan ia lebih menarik berbanding FIFA Street. Anda boleh memilih 5 format berbeza iaitu 3v3, 4×4, 3×3 rush (tiada penjaga gol), 4×4 rush, 5v5 dan futsal profesional.

Bagi menjadikan mode ini seperti satu fenomena jalanan di seluruh dunia, beberapa lokasi atau venue boleh dipilih pemain. Antara yang menarik adalah ‘neighbourhood cage’ di London, ‘rooftop’ di Tokyo dan terowong di Amsterdam. Tiga lokasi ini dipilih FIFA kerana sangat penting dalam budaya ‘street footbll’.

Seperti ‘The Journey’ yang terdapat dalam FIFA20, Volta juga mempunyai mode penceritaan namun ia tidak didedahkan sepenuhnya oleh pihak EA Sport. Anda juga boleh bermain secara online sekaligus menguji kehebatan dengan pemain-pemain dari seluruh dunia.

Volta juga mempunyai pemain-pemain wanita , sesuatu yang baharu dalam siri permainan bolasepak jalanan.