Pendahulu Ligue 1 Perancis, Paris St Germain (PSG) menerima kekalahan kedua dalam saingan liga selepas tewas 1-2 kepada Olympique Lyon di Groupama Stadium, pagi tadi.

Tanpa Neymar yang mengalami kecederaan, PSG mengharapkan gandingan Kylian Mbappe dan Edison Cavani untuk merobek gawang lawan. Bagaimanapun, Nebil Fakir mengejutkan pelawat menerusi sepakan percuma cantik yang menewaskan Alphonse Areola seawal minit kedua.

PSG bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan cantik Layvin Kurzawa pada penghujung babak pertama. Malang menimpa skuad kendalian Unai Emery selepas pertahanan dari Brazil, Dani Alves dikenakan kad merah pada minit ke-57.

Lyon kemudiannya memasukkan bintang Belanda, Memphis Depay pada minit ke-69. Ketika perlawanan dilihat hampir berkesudahan seri 1-1, Depay muncul wira Lyon selepas menjaringkan gol cantik pada penghujung perlawanan.

Kekalahan tersebut menyaksikan jurang PSG sebagai pendahulu dengan Lyon yang berada di tangga kedua hanya dibezakan dengan 8 mata.

Kekalahan ini juga menimbulkan tanda tanya penyokong dan media di Perancis akan ketiadaan Neymar yang kerap cedera ketika PSG menghadapi perlawanan-perlawanan besar.