Selepas memegang rekod 100 meter, jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan berjaya memecahkan rekod 200 meter yang dipegang 49 tahun pada Kejohanan Olahraga Pra-Sukan SEA di Bukit Jalil, semalam.

Rekod baharu 20.90s yang membanggakan ini sekali gus mengatasi rekod yang dicipta oleh lagenda olahraga negara, Tan Sri Dr. M. Jegathesan dengan catatan 20.92s.

Menurutnya, dia berasa gembira dengan keputusan ini dan berterima kasih kepada jurulatihnya, Mohd. Poad Kassim yang sentiasa membimbingnya.

“Sudah tentu kejayaan meleburkan rekod ini akan memberi semangat kepada saya untuk beraksi pada temasya Sukan SEA nanti,”katanya.

Pelumba yang mewakili Melaka itu juga memegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.18s pada acara 100 meter (m) di Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak tahun lalu.

Selain rekod kebangsaan, dia turut memperbaharui rekod kejohanan yang dilakarkan pelari Jepun, Kento Terada di Kangar, Perlis pada 1996.

Pada saingan akhir 200m wanita pula, ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli berjaya mengekalkan statusnya selaku pelumba tonggak negara menerusi kejayaannya meraih emas dengan catatan masa 24.12s mengatasi rakan senegara, Komalam Sally yang berada di tempat kedua serta Siti Fatimah Mohamad, ketiga.

 

FOTO: BERNAMA