Connect with:




Nama Hannes Thór Halldórsson menjadi sebutan selepas aksi cemerlangnya berjaya membantu Iceland mendapat mata pertama dalam sejarah penyertaan di Piala Dunia.

Halldórsson turut menjadi mimpi ngeri buat bintang Argentina, Lionel Messi selepas menggagalkan sepakan penalti pemain Barcelona itu.

Kecemerlangan Halldórsson seterusnya memberikan penjaga gol berusia 34 tahun itu dianugerahkan Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan (Man Of The Match) untuk aksi tersebut.

“Sebelum perlawanan, saya ada menonton video-video Lionel Messi untuk saya baca permainannya. Saya juga melihat video penalti Messi dan video bagaimana saya berfungsi ketika penalti.

“Kami berjaya mengikat salah satu pasukan terbaik dunia yang menghimpunkan ramai bintang dunia. Ia satu pencapaian membanggakan buat Iceland, sama seperti ketika kami mengikat Portugal di Euro 2016” kata penjaga gol yang beraksi untuk kelab Denmark, Randers FC.

Satu perkara menarik mengenai Halldórsson adalah beliau bukan sahaja hebat di atas padang malah seorang yang berbakat besar dalam bidang pengarahan filem video.

Halldórsson merupakan pengarah untuk iklan Coca-Cola di Iceland bersempena dengan Piala Dunia 2018.

Selepas ini Iceland akan menentang Nigeria pada 22 Jun di Volgovrad Arena.