Connect with:




Semalam telah berlangsung acara CIMB Cyle 2019 di Dataran Putrajaya yang disertai seramai 3700 orang peserta amatur dan juga profesional dari 26 buah negara.

Selain Malaysia, antara negara yang mempunyai peserta pada edisi ketiga kali ini ialah United Kingdom (18), Singapore (11), Brunei (11), Thailand (9), Australia (8), Jerman (6) dan Afrika Selatan (3).

Dua kategori jarak telah dipertandingkan iaitu Endurance Ride (160km) dan Challenge Ride (80km). Laluan bermula di bangunan Kementerian Kewangan sebelum kemudiannya memasuki Sepang, Nilai, Rantau, Lenggeng, Seremban, Semenyih dan Bangi.

Sementara itu, tular di laman sosial mengenai sattu video kemalangan yang berlangsung pada acara semalam. Bagaimanapun ia bukanlah satu kemalangan yang besar dan hanya melibatkan dua orang peserta sahaja.

Video menyaksikan seorang peserta dipercayai peserta kategori 80km dilanggar dari belakang oleh peserta jarak 160km. Kedua-dua peserta dikejarkan ke hospital namun tiada kemalangan serius dilaporkan.

Sebelum itu, acara dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq serta dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Dato’ Sri Zafrul Aziz dan pelumba kebangsaan, Azizulhasni Awang yang juga duta CIMB.

Bekas pelumba kebangsaan, Josiah Ng muncul juara kategori lelaki terbuka Challenge Ride sementara Muaz Abdul Rahim memenangi kategori lelaki terbuka Endurance Ride.

Bagi kategori wanita pula, perlumbaan Challenge Ride dimenangi oleh Ng Hui Shia sementara gelaran juara Endurance Ride dimiliki oleh Yeong Zhen Yi.