Pemain Bayern Munich, Arturo Vidal tidak akan bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas Chile tersingkir daripada kelayakan Piala Dunia selepas tewas 3-0 kepada Brazil, semalam.
Perlawanan menentang Brazil, digabungkan dengan keputusan di perlawanan yang lain menyaksikan Chile terkeluar daripada kedudukan kelayakan automatik dan playoff menentang juara Oceania, New Zealand.
Kekalahan ini bermakna Chile gagal untul mara ke pusingan akhir Piala Dunia buat pertama kali sejak tahun 2006 namun Vidal percaya bahawa pasukannya akan bangkit semula.
“Saya sangat sedih dengan keputusan menentang Brazil, sama seperti kebanyakan rakyat Chile kerana impian kami untuk ke Piala Dunia telah berakhir.
“Tetapi saya percaya bahawa kami akan bangkit semula. Kami harus belajar dari kesilapan untuk tidak mengulangi mereka.” kata pemain yang berusia 30 tahun itu.
Vidal mempunyai banyak kejayaan bersama skuad kebangsaan, memenangi piala Copa America dua tahun berturut-turut, pada tahun 2015 dan 2016.
Chile juga muncul naib juara Piala Konfederasi pada musim panas yang lepas, selepas tewas kepada Jerman di perlawanan final.
Foto Kredit: Twitter (Arturo Vidal)