Sebastian Vettel mencatat masa terpantas sesi ujian pramusim di Litar de Catalunya semalam manakala pelumba Mercedes, Lewis Hamilton terpaksa mengorbankan jadualnya akibat perubahan cuaca.

Pelumba Ferrari itu mencatat satu minit 19.673 saat menggunakan tayar lembut dengan menamatkan 98 pusingan meskipun litar ujian kemudian dipenuhi salji.

Catatan Vettel lebih pantas berbanding pemandu lain yang dicatatkan di litar berkenaan pada 2017 tetapi dia berkata Ferrari memberi keutamaan kepada kesediaan jentera berbanding prestasi kereta ketika ini.

“Jika dilihat dari sudut operasi,semuanya lancar dan saya boleh katakan kereta berfungsi. Tetapi hari ini keadaan cuaca tidak sesuai unutuk menguji kereta F1, ” kata Vettel.

Pelumba Mercedes, Lewis Hamilton yang sepatutnya menguji kenderaannya pada sebelah petang tetapi Mercedes menukar jadual dengan memberi peluang kepada rakan pelumba dari Finland, Valtteri Bottas melakukan ujian kerana enggan membazir masa.

“Dengan perubahan cuaca yang tidak menentu dan tidak mahu kehilangan banyak masa ujian di litar, biarlah Valtteri teruskan saja ujian sebelah petang.

“Saya ambil keputusan korbankan masa ujian saya untuk bolehkan pasukan menilai keadaan kereta lumba itu dengan lebih baik,” kata Hamilton.

Foto Kredit : thesun(dot)co(dot)uk