Connect with:




Pelumba Ferrari, Sebastian Vettel menyatakan kegagalannya untuk menaiki podium ketika Grand prix (GP) Bahrain bukan disebabkan tekanan tetapi hasil kesilapan diri sendiri kerana gagal mengawal jentera dengan baik ketika perlumbaan di Litar Antarabangsa Bahrain semalam.

Ketika perlumbaan Vettel dilihat gagal mengawal dengan baik jenteranya sehingga berpusing dan terbabas sewaktu Lewis Hamilton memintasnya. Ia sekali gus memberi peluang kepada pelumba Mercedes itu untuk mengejar rakan sepasukannya, Charles Leclerc dengan baki 11 pusingan sebelum tamat perlumbaan.

Hamilton menggunakan kelebihan dan peluang untuk memintas Vettel susulan masalah yang dialami jentera pasukan Ferrari yang kehilangan unit kuasa sekali gus memberikan podium tempat pertama kepadanya.

Rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas berjaya meraih kedudukan kedua selepas turut berjaya memintas Leclrec. Manakala Vettel hanya sekadar menduduki tempat kelima dalam perlumbaan tersebut.

Sebastian Vettel

“Saya memohon maaf atas kesilapan saya itu. Jentera saya kehilangan cengkaman pada tayar belakang dan bukannya disebabkan tekanan.

“Masa itu saya hanya ingin kekal dihadapan dan misi saya adalah berjuang dengan Hamilton tetapi saya amat terkejut apabila tayar belakang jentera hilang cengkaman lalu berpusing. Saya cuba untuk mengelak perkara itu berlaku tetapi ia telah terlambat.

“Ini adalah kesilapan saya sendiri, jika perkara ini tidak berlaku pasti kami mampu menamatkan perlumbaan ditempat yang lebih baik. Bagi saya, ini adlah perlumbaan yang sukar.

“Walau bagaimanapun, pasukan kami melihat ia sebagai peningkatan yang baik sepanjang minggu ini. Tetapi banyak yang perlu dilakukan serta kerja rumah yang perlu disiapkan, kami perlu bekerja keras sebelum menjelang perlumbaan seterusnya,” jelas Vettel. – Agensi

Foto : F1