Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) menaik taraf kemudahan di semua venue pertandingan dan penginapan menjelang Sukan Para ASEAN Kesembilan untuk menjadikannya mesra orang kelainan upaya (OKU).

Pengerusinya, Khairy Jamaluddin berkata, temasya dwitahunan tersebut yang dijangka berlangsung pada 17-23 September ini bakal menjadi tumpuan dan persiapan turut diberikan kepada fasiliti untuk orang awam OKU yang dijangka akan hadir ke lokasi pertandingan, selain atlet.

“Pendek kata, kami mahukan pengalaman golongan orang kelainan upaya dan atlet para sewaktu temasya sukan ini sama dengan individu yang lain. Sebanyak 4,000 sukarelawan akan membantu para atlet dan hadirin.

“Antara kemudahan yang telah ditambah baik ialah restoran di tempat penginapan, tandas atau bilik mandi dengan peralatan yang bersesuaian dan pengangkutan yang mesra kerusi roda untuk mereka yang memerlukan,” katanya.

Khairy berkata, sebanyak 150 tempat letak kereta di Tempat Letak Kereta B, Kuala Lumpur Sports City (KLSC) disediakan bagi pemandu yang mempunyai pelekat rasmi OKU, perkhidmatan buggy, bas mesra OKU yang turut memudahkan penumpang berkerusi roda dan 1,300 tempat duduk khas bagi mereka yang berkerusi roda di lokasi pertandingan.

Khairy yang juga merupakan Menteri Belia dan Sukan berkata pihaknya juga telah berbincang dengan enam buah hotel yang menempatkan kontinjen negara bertanding, iaitu Hotel Seri Pacific, Hotel Sunway Putra, Hotel Renaissance, Hotel Berjaya Times Square, Hotel Nilai Springs Resort dan Hotel Sunway Clio mengenai kerjasama dalam usaha itu.

“Kesemua enam lokasi pertandingan, iaitu Kuala Lumpur Sports City (KLSC), Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Velodrom Nasional di Nilai, Kompleks Tenis Jalan Duta, Sunway Mega Lanes dan Putrajaya, turut di naik taraf, katanya.

“Kita juga komited untuk memastikan masalah pengangkutan yang berlaku ketika Sukan SEA tidak berulang. Untuk itu, saya meminta kontinjen negara supaya tidak menukar jadual perjalanan mereka pada minit-minit terakhir,” ujarnya.

Mengenai penyiaran temasya berkenaan, Khairy berkata RTM akan menyiarkan upacara perasmian dan penutupan secara langsung, selain siaran langsung bagi beberapa sukan di laman YouTube rasmi penganjur, Kuala Lumpur 2017.

Foto Kredit: Cinema Online