Velodrom Nasional Malaysia yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan akhirnya dirasmikan semalam – membawa sukan berbasikal di Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi.

Velodrom bertaraf dunia ini mula dibina pada Januari 2015 oleh Jabatan Kerja Raya dengan kemudahan trek sepanjang 250 meter yang diperbuat daripada kayu jenis spruce dengan kapasiti 2000 tempat duduk penonton serta dilengkapi kemudahan lain seperti ruang pejabat, surau serta 20 fasiliti untuk kegunaan orang kurang upaya (OKU).

Bernilai RM 80 juta, majlis perasmian kompleks ini juga mempunyai siginifikannya sendiri. Walaupun dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, namun bukan mereka berdua yang merasmikan velodrom tersebut.

Sebaliknya, penghargaan diberi kepada 5 lagenda berbasikal negara – Ng Joo Ngan, M. Kumaresan, Rosman Alwi, Josiah Ng dan Azizulhasni Awang.

Ia turut diserikan dengan perlumbaan pertunjukkan dari Josiah dan Azizulhasni di atas trek yang menelan belanja RM 5.6 juta ini.

Velnas akan menjadi gelanggang saingan lumba basikal trek yang mempertandingkan 13 emas pada Sukan SEA dari 19-31 Ogos ini. Di sebelah luarnya pula terdapat trek BMX yang menawarkan 2 pingat emas pada temasya tersebut.

 

FOTO KREDIT: www.asiana.my