Connect with:




Liverpool perlu bersedia untuk berkunjung ke Allianz Arena bagi menghadapi Bayern Munich dalam aksi kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi Khamis selepas terikat tanpa jaringan di Anfield.

Liverpool yang menamatkan saingan di tempat kedua Liga Juara-Juara tahun lalu terpaksa bergelut dalam peringkat kumpulan selepas mencatat tiga kekalahan kepada Napoli, Red Star Belgrade dan Paris Saint Germain sebelum layak sebagai naib juara di belakang PSG.

“Perlawanan peringkat kumpulan tidak begitu baik seperti apa yang kami harapkan, tetapi kami berjaya melepasi peringkat kalah mati,” kata pertahanan Liverpool, Virgil Van Dijk.

“Ia akan menjadi lebih mencabar dan kami perlu melakukan lebih baik daripada apa yang kami lakukan pada perlawanan di tempat lawan sejak kebelakangan ini dalam Liga Juara-Juara. Kami mahu melakukan apa sahaja yang boleh untuk layak ke peringkat seterusnya”, tambah Van Dijk.

Bayern pastinya mahu memberi tumpuan dan bertahan dengan kelebihan perlawanan pertama, tetapi Van Dijk menjangkakan peluang kedua-dua pasukan dalam perlawanan itu masih terbuka dan dia yakin pasukannya boleh mencatat sesuatu menerusi jaringan di tempat lawan menerusi undang-undang diperuntukkan UEFA.

“Akan ada masanya apabila kami berada dalam tekanan disebabkan mereka mempunyai terlalu banyak kualiti. Namun kami pastinya mempunyai kelebihan pada ruang sendiri disebabkan kualiti yang turut kami miliki.

“Kami perlu bangkit untuk perlawanan penting kerana kemungkinan semuanya sudah ada di situ, terutama sejak peringkat awal permainan. Untuk mengekalkan rekod cemerlang dalam perlawanan pertama adalah sangat baik bagi kedua-dua pasukan tetapi kami tahu jika kami menjaringkan satu gol, lawan perlu menjaringkan dua gol. Itulah yang akan terjadi.

“Kami mahu menang dalam perlawanan ini dan mara ke peringkat seterusnya. Saya harap semua pemain dapat melaksanakan tugas dengan baik”, jelas Van Dijk.

Sementara itu, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp memiliki rekod sederhana menentang Bayern dengan sembilan kemenangan, lima seri dan 16 kekalahan dalam 30 permainan menentang Bavarian sama ada sebagai jurulatih Liverpool, Mainz dan juga Dortmund.

Bagaimanapun dalam musim ketujuhnya bersama Dortmund iaitu antara 2008 hingga 2015, Klopp berjaya mencatatkan kemenangan luar biasa dengan lima kejayaan, satu seri dan empat kekalahan daripada sembilan pertembungan di Munich.

Kejayaan terakhirnya pada kunjungan ke Arena Allianz pada April 2015 apabila Dortmund menewaskan Bayern menerusi penalti dalam pusingan separuh akhir Piala Jerman.

Foto: Sportskeeda