Connect with:




Valencia meranapkan impian Manchester United untuk memegang takhta Kumpulan H, Liga Juara-Juara apabila menumpaskan mereka dengan kemenangan 2-1, pagi tadi.

Persembahan hambar itu menyaksikan Paul Pogba termasuk dalam senarai lapan pertukaran yang dilakukan Jose Mourinho ke atas skuad kendaliannya di Mestalla meskipun sudah mengesahkan kemaraan mereka peringkat kalah mati.

Dalam pada itu, Mourinho seakan mengecam barisan pemain yang diturunkannya.

“Tidak ada apa yang mengejutkan saya langsung,” kata Mourinho.

Biarpun peluang untuk muncul juara kumpulan sudah hancur namun, United masih mempunyai ruang berdepan lawan lebih mudah di peringkat seterusnya selepas Juventus tewas mengejut ke atas Young Boys 1-2 di tempat lawan.

Sebagai naib juara kumpulan, United akan diundi bertemu sama ada Real Madrid, Barcelona, Bayern Munich, Paris Saint-Germain, Borussia Dortmund atau Porto dalam kelompok 16 terakhir.

Juventus pula bakal berdepan sama ada Atletico Madrid, AS Roma, Schalke, Ajax atau Lyon.

“Selain daripada beberapa kelab yang lebih baik daripada yang lain, saya tidak rasa undian itu membawa perbezaan besar,” kata Mourinho.

“Ada pasukan di tangga kedua yang cuba dielak oleh pasukan yang berada di tempat pertama,” katanya.

Sementara itu, undian untuk pusingan kalah mati akan diadakan pada Isnin ini.

Foto: Valencia CF