Connect with:




Cadangan menggugurkan sukan sepak takraw daripada Program Podium umpama imbuhan yang paling memeritkan harus ditelan barisan pemain takraw negara.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail mempersoalkan adakah ini imbuhan yang selayaknya buat 12 pemain negara setelah berjaya mengakhiri kemarau 24 tahun pingat emas acara regu di Sukan Asia 2018 yang lalu.

“Beginikah cara pemain diraikan selepas meraih pingat emas di Sukan Asia malah melepasi sasaran awal yang ditetapkan.

“Semua pemain memberikan komitmen penuh,mereka berkerja keras untuk mendapatkan pingat emas setelah pelbagai janji manis ditaburkan malah jaminan akan kekal dalam Program Podium jika mencapainya.

“Secara jujurnya saya merasakan cadangan yang dibuat adalah terburu-buru dan ianya amat menyedihkan kerana sesetengah sukan terpaksa digugurkan,”katanya.

Ahmad Ismail yang mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali yang berpandangan atlet tidak berada dalam senarai sukan dipertandingkan pada Olimpik Tokyo 2020 berkemungkinan tinggi digugurkan daripada Program Podium.

Untuk rekod, Program Podium mempunyai 148 atlet dan antara yang berada dalam perbincangan untuk digugurkan adalah daripada sukan skuasy, sepak takraw, boling serta silat yang mana sukan ini tidak dipertandingkan di Olimpik kelak.

Namun begitu, Ahmad Ismail masih berharap agar pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Institut Sukan Negara (ISN) serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menilai kembali hal ini demi kepentingan sukan sepak takraw di masa hadapan.

“Minta kerjasama KBS,ISN dan MSN untuk menyelidik hal ini sedalamnya dan pertimbangkan kedudukan takraw dalam Program Podium kerana ianya jelas mendatangkan hasil malah saya tidak nafikan hasil efektif program inilah yang menyumbang kepada penamat kemarau 24 tahun pingat emas  buat skuad regu di Sukan Asia,” jelasnya lagi.