Pemenang Pingat Emas Karate Do UPM

 

Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mengungguli Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2012 selepas mengutip 6 pingat emas dari 16 yang ditawarkan hari ini. Karatedo menjadi penyumbang terbesar buat kontinjen ini dimana kesemua acara kumite lelaki yang dipertandingkan hari ini berjaya disapu bersih mereka. Acara tersebut ialah kumite individu lelaki atas 84kg, kumite individu lelaki bawah 84kg dan kumite individu lelaki bawah 64kg.

Sementara 2 pingat emas karatedo wanita pula dimenangi Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dalam kategori kumite individu wanita atas 68kg dan UiTM suntuk kategori kumite individu wanita bawah 68kg.

Kecemerlangan UPM diteruskan di Stadium MSN selepas mereka berjaya memenangi pingat emas 4×100 meter lelaki, lontar peluru wanita dan 3000 meter lari berhalangan lelaki. UPM bagaimanapun diberi saingan sengit dari UNIMAP selepas institut dari utara tanahair ini turut memenangi 3 pingat emas dalam acara lempar cakera lelaki, 4×100 meter wanita dan 400 meter lelaki.

Kecemerlangan UPM diteruskan kuartet 4x100m lelaki

 

Politeknik Ungku Omar (PUO) juga berjaya mencuri tumpuan lapangan olahraga menerusi emas dalam acara hepthatlon wanita dan lompat jauh lelaki. Dalam acara lompat tinggi lelaki pula, pemenang pingat emas dikongsi bersama-sama atlet UTM dan UNITEN selepas mencatat ketinggian yang sama.

Tumpuan hari ke-9 SUKIPT juga terarah kepada saingan rugbi 7 sebelah selepas 2 pasukan pilihan, UPM ‘Angels’ dan UiTM ‘Lions’ bakal berentap di peringkat separuh akhir. UPM berjaya menewaskan KPTM 42-0 di saingan suku akhir sementara UiTM menumpaskan UPNM 19-5. Satu lagi saingan suku akhir akan menemukan pasukan UTM dan UM.

Dua pasukan pilihan, UPM Angel dan UiTM Lions bakal berentap di separuh akhir

 

Dalam acara bolatampar pantai lelaki, UiTM akan menentang tuanrumah UKM di saingan final. UiTM menewaskan UTM di peringkat separuh akhir manakala UKM mudah menewaskan cabaran UMT.

Kejayaan UPM pada hari ke-9 ini menyaksikan UPM terus memimpin carta pungutan pingat SUKIPT dengan 45 pingat emas meninggalkan pencabar terdekat mereka, UiTM dengan 37 pingat emas. Untuk maklumat lebih lanjut, layari laman web rasmi SUKIPT di http://www.sukipt.com.my/