Connect with:




Atlet Menembak Negara dan UPM, Johnathan Wong Guanjie dan atlet Olahraga, Norliyana Kamaruddin, masing-masing telah dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragwati Universiti Putra Malaysia (UPM) 2017 bersempena Majlis Anugerah Sukan UPM ke-34/2018 yang telah diadakan di Hotel Bangi-Putrajaya baru-baru ini.

Kemenangan tersebut telah membolehkan mereka masing-masing membawa pulang hadiah kemenangan wang tunai RM 2000.00, jam tangan, jaket, sijil penghargaan, piala iringan, piala pusingan dan tajaan percutian “Let’s Play ke Pulau Perhentian” serta t-shirts sukan tajaan Warrix. Kejayaan mereka pada tahun 2017 dalam pelbagai acara masing-masing di peringkat antarabangsa, kebangsaan dan IPT telah mendorong untuk dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati UPM 2017.

Pelbagai Anugerah Lain

Majlis Penyampaian hadiah Majlis Anugerah Sukan UPM ke-34/2018 telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris, Naib Canselor UPM. Turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Prof. Dr. Roslan Sulaiman (Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, UPM), YBrs. Dr. Hanafiah Ayub, (Ketua Pusat Sukan UPM), YBhg. Dato’ Wan Azman Wan Omar (Pendaftar UPM), dan YH. Prof Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran (Naib Canselor UPSI).

Sempena majlis tersebut juga, UPM turut menganugerahkan Anugerah Bintang Harapan Lelaki dan Anugerah Bintang Harapan Wanita bagi tahun 2017 kepada Muhammad Fitri Abdullah (atlet Ragbi) dan Heng Kor Jin (atlet Renang). Kedua-dua atlet tersebut membawa pulang wang tunai sebanyak RM 1000.00, jam tangan, sijil penghargaan dan piala iringan serta t-shirts sukan tajaan Warrix.

Selain itu, UPM juga telah menganugerahkan seramai 135 orang atlet bagi Anugerah Emas, 51 orang penerima Anugerah Perak, 17 orang Setia Bakti dan 19 orang Penghargaan Khas. Antara penerima Penghargaaan Khas ialah, Cheong Jun Hoong, Leong Mun Yee, Tracie Ang, Muhammad Hakimi Ismail dan beberapa atlet kebangsaan yang lain.