Pasukan hoki wanita Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak menghadapi masalah besar untuk mempertahankan kejuaraan hoki 6’s ‘indoor’ di Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) apabila mudah menewaskan pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan jaringan 2-0.

Dalam perlawanan akhir tersebut, Raja Nur Sharina Raja Shahbuddin berjaya membuka jaringan pada minit ke tujuh untuk UPM mendahului 1-0. UiTM cuba memberi tentangan dan mencari gol penyamaan namun pasukan UPM berjaya menyerap setiap asakan UiTM.

Dalam keghairahan UiTM mencari gol penyamaan, UPM berjaya menjaringkan gol kedua menerusi Fatin Naimah Zaki pada minit ke-15 sekali gus meranapkan impian UiTM untuk memburu kejuaraan sulung mereka dalam edisi SUKIPT kali ini.

Bagi ketua pasukan UPM, Nurul Safiqah Mat Isa, mereka sememangnya datang ke mari adalah untuk memburu kejuaraan dan memastikan emas terus menjadi milik UPM.

“Meskipun kami kurang mengadakan latihan tetapi kami tetap yakin mampu melakukan yang terbaik kerana kebanyakan pemain boleh bermain dan sudah biasa dengan corak permainan hoki ‘indoor’ ini,” ujarnya.

Dalam pasukan UPM, majoriti adalah pemain hoki kebangsaan yang bermain dalam Sukan Sea tahun lepas dan tidak hairanlah jika mereka mampu mengekalkan kejuaraan meskipun kurang mengadakan latihan.

Pingat gangsa dimenangi oleh pasukan Universiti Tenaga Nasional yang menewaskan Universiti Pendidikan Sultan Idris 2-0.