Connect with:




Prestasi hambar yang dipamerkan pasukan Selangor dalam tiga perlawanan Liga Super 2019 sebelum ini ternyata memberi impak negatif kepada staff  kejurulatihan pasukan berkenaan.

Selangor hanya mampu memungut dua mata dimana mereka seri ketika bertemu Felda United dan Petaling Jaya City FC serta dibelasah oleh PKNS FC dengan keputusan 4-0.

Lantaran itu, ramai yang berpendapat pengurusan baru Persatuan Bolasepak berdepan unsur sabotaj daripada pihak luar hingga menimbulkan masalah terhadap pemain.

Bekas pemain skuad kebangsaan, Khalid Ali turut mempunyai pendapat yang sama mengenai kemungkinan ada pihak luar cuba mensabotaj ke atas pengurusan baru pasukan Selangor.

Hal ini sekaligus menyebabkan pemain tidak dapat mempamerkan persembahan yang baik selain munculnya rasa ketidakpuasan hati terhadap pihak pengurusan.

“Kemungkinan, ada unsur sabotaj dalam pasukan kerana apa yang berlaku ini berkait dengan Geng 52 yang kita tahu sebelum ini ingin menguasai FAS. Memang ada kekacauan dari luar dan ada juga pemain-pemain yang menyokong geng itu.

“Mereka (pemain) tidak setuju dengan pengurusan baru kerana mereka ini masih menghormati pengurusan lama. Mereka sangat rapat sebelum ini. Mungkin ini adalah arahan daripada Geng 52,” katanya.

“Terdapat sedikit kelemahan dalam menguruskan pemain kerana mereka (pengurusan baru) masih baru dan tidak mempunyai pengalaman. Tetapi mereka sentiasa berusaha menjadi terbaik dari semasa ke masa.

“Saya berharap Menteri Besar dapat bekerjasama dengan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, untuk atasi masalah ini dan wujudkan satu pengurusan yang mantap, sekali gus membawa naik nama Selangor semula,” tambahnya.

Dia turut menegaskan pengurusan baharu FAS kini menjalankan tugas dengan amat baik dengan merangka beberapa plan dan program untuk mendekatkan pasukan bersama peminat selain ingin mengembalikan kembali zaman kegemilangan mereka seperti dahulu.

Malah, Khalid juga berharap para pemain sentiasa bersikap professional dengan menghormati kontrak yang sudah ditandatangani dan bermain bukan kerana pihak luar atau demi kepentingan sendiri.

“Sebagai pemain profesional, mereka kena hormati kontrak. Mereka kena akur dengan kontrak tersebut dan menghormati pengurusan. Jangan menjejaskan imej serta nama baik FAS dan Selangor,” katanya. – BERNAMA