Connect with:




Manchester United bakal bertemu Tottenham Hotspur di separuh akhir Piala FA Inggeris, manakala Chelsea bakal berdepan Southampton pada satu lagi perlawanan di Wembley.

United yang terdesak untuk memenangi trofi musim ini layak ke separuh akhir dengan kemenangan 2-0 ke atas Brighton di Old Trafford, kelmarin.

Sementara itu Tottenham mencatatkan kemenangan selesa 3-0 di Swansea untuk menempah penampilan kedua berturut-turut pada separuh akhir.

Chelsea berjaya melayakkan diri ke separuh akhir apabila menewaskan Leicester City 2-1, awal pagi tadi.

Alvaro Morata meletakkan pasukannya di depan dengan penyudah sempurna pada minit ke-42 sekali gus menamatkan kemarau gol sejak 26 Disember lalu.

Jamie Vardy kemudian menyamakan kedudukan buat pasukannya apabila menampan masuk bola pada minit ke-75 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Penyerang Sepanyol, Pedro Rodriguez muncul wira apabila menghukum kesilapan penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel pada minit ke-105.

Kemenangan itu menghidupkan peluang dan harapan terakhir Chelsea untuk memenangi kejuaraan musim ini selepas bergelut dalam saingan liga dan tersingkir daripada Liga Juara Juara.

Perlawanan separuh akhir akan berlangsung pada hujung minggu 21-22 April depan. – AFP

Foto Kredit : wallpapercave(dot)com