Connect with:




Pemburuan empat tempat teratas Liga Perdana Inggeris tampak sukar buat Manchester United apabila mereka tewas kepada Wolverhampton Wanderers 2-1 di Stadium Molineux. Kekalahan itu juga merupakan ulangan episod duka buat United selepas tewas kepada lawan yang sama di Piala FA.

United yang dikendalikan oleh Ole Gunnar Solskjaer bagaimanapun berada di depan melalui jaringan Scott McTominay sebelum disamakan oleh Diogo Jota selepas kesilapan yang dilakukan oleh Fred. United semakin parah selepas Ashley Young dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua.

Wolves mengambil kesempatan itu dengan melakukan serangan ke gawang United dan hasilnya mereka mendapat gol kedua hasil jaringan sendiri pemain pertahanan United, Chris Smalling yang tertampan masuk bola selepas keadaan kelam kabut di depan gawang penjaga gol.

Ole menegaskan bahawa United tidak boleh melakukan kesilapan lagi dengan baki enam perlawanan. Dia meletakkan sasaran untuk mengumpul 15 mata daripada baki tujuh perlawanan sebelum menentang Wolves tetapi kini mereka perlu mengumpul 15 mata daripada baki enam perlawanan.

“Memang sukar untuk kumpul 15 mata dalam baki enam perlawanan kerana kami masih mempunyai perlawanan dengan Manchester City dan Chelsea. Itu adalah cabaran buat kami untuk terus bersaing mendapatkan empat tempat teratas liga.

“Ia sukar tetapi sekali lagi, kami adalah pasukan yang bagus dan ia akan menyukarkan sesiapa saja yang menentang kami. Perlawanan ini amat sengit tetapi persembahan kami sepatutnya berakhir dengan kemenangan”, jelas Ole.

Sementara itu, Fulham yang baru semusim naik ke Liga Perdana Inggeris musim ini terpaksa mengikuti jejak langkah Huddersfield Town ke saingan Liga Kejuaraan selepas tewas 4-1 kepada Watford di Vicarage Road.

Fulham yang berada di kedudukan kedua tercorot liga, ketinggalan 16 mata untuk keluar daripada zon penyingkiran yang berbaki lima perlawanan sahaja. Fulham mengalami kekalahan kesembilan berturut-turut musim ini.

“Jelas sekali amat mengecewakan untuk kelab dan peminat. Kami sedar cabarannya amat sukar, tetapi cara kami tewas itu lebih mengecewakan buat saya.

“Tempoh lima hingga 10 minit selepas kedudukan 2-1 adalah rumusan kepada musim kami. Kami bermain bagus pada satu ketika, tetapi akhirnya berada di tempat di mana kami sepatutnya berada”, jelas pengendali Fulham, Scott Parker.

Jaringan Watford dijaringkan oleh Abdoulaye Doucoure, Will Hughes, Troy Deeney dan Kiko Femenia. Sementara gol saguhati Fulham dijaringkan oleh Ryan Babel.

Foto : Sportskeeda