Connect with:




Hasrat Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk menutup kempen kejuaraan TNB-LHM 2020 dengan rekod seratus peratus kemenangan tidak kesampaian selepas seri 1-1 menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam aksi terakhir liga pada Ahad.


Perlawanan membabitkan dua pasukan teratas liga ini menjadi tumpuan walaupun UniKL telah pun mengesahkan kejuaraan minggu lalu dengan TNB cuba untuk menghalang mereka daripada mencipta rekod seratus peratus kemenangan.
Permainan seimbang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan dalam usaha memburu jaringan namun peluang yang dimiliki tidak dapat disempurnakan.


Kebuntuan jaringan hanya terlerai dalam suku terakhir permainan apabila Muhammad Shahril Saabah manfaatkan penyudah menerusi jaringan padang bagi meletakkan TNB di depan pada minit ke-51.
Pendahuluan itu bagaimanapun hanya bertahan selama 5 minit dengan UniKL mengikat kedudukan hasil jaringan padang Mohamad Ashran Hamsani.


Keputusan 1-1 itu kekal hingga tamat permainan, menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.


UniKL mengumpul 40 mata daripada 14 perlawanan, dibezakan 8 mata berbanding TNB di kedudukan kedua liga.


“Kami terpaksa berjuang habis-habiskan untuk pamer kebangkitan, TNB lebih berhak untuk mengutip mata penuh tetapi kami menunjukkan perwatakan sebenar untuk raih keputusan seri.


“Walaupun tidak dapat mencatat rentak seratus peratus kemenangan, saya tetap gembira kerana kami tidak tewas dalam liga. Kini kami perlu fokus dan bersedia untuk saingan Piala TNB,” jelas jurulatih UniKL, Arul Selvaraj.


“TNB pamerkan aksi yang harus dibanggakan sepanjang kempen liga kali ini, kami cuma punyai sedikit kekurangan dari segi pengalaman disebabkan kehilangan beberapa pemain daripada musim lepas.


“Kami membuktikan kami dapat bersaing dengan pasukan utama dan kini terpulang kepada pemain bagaimana mereka ingin terus tingkatkan lagi persembahan mereka,” ujar pengendali TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin.


Turut berlangsung majlis penyerahan trofi kejuaraan liga serta hadiah kemenangan berjumlah RM100,000 kepada pasukan UniKL yang disempurnakan oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato’ Sri Subahan Kamal sejurus berakhirnya pertemuan dengan TNB.


Ini merupakan gelaran kedua buat UniKL selepas merangkul Piala Sumbangsih pada awal musim.


Sementara itu Terengganu Hockey Team (THT) terpaksa berpuas hati menamatkan kempen musim ini di kedudukan ketiga liga selepas terikat 2-2 dengan Maybank.
Dibezakan satu mata dengan TNB menuju ke aksi terakhir ini, hanya kemenangan dapat membantu THT andai ingin memintas pencabar mereka itu.


Bagaimanapun Maybank lebih menyerlah dengan dua jaringan dalam tempoh seminit menerusi Muhammad Syamim Naim Abd Hamid dan Shahmie Irfan Suhaimi untuk meletakkan skuad kendalian Azrul Effendy Bistamam di kedudukan selesa.


THT kemudian membalas menerusi pukulan sudut penalti Jang Jong Hyun pada minit ke-40 untuk merapatkan jurang sebelum pemain import dari Korea Selatan itu muncul penyelamat dengan jaringan penyamaan, sembilan minit kemudian.
Jurulatih THT, Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata: “Kami berada di bawah tekanan untuk memenangi perlawanan ini berbanding Maybank yang tidak punyai sebarang sasaran penting dan ia lebih mudah buat mereka.


“Kami juga tidak bernasib baik kerana dibolosi 2 gol pantas oleh lawan, di sebalik kebangkitan yang dipamerkan kami juga gagal sempurnakan beberapa peluang untuk mendapatkan kemenangan.”
Manakala UiTM turut menamatkan musim ini dengan kemenangan selepas mengatasi TNB Thunderbolts 4-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur.


Mohamad Zulhamizan Awang Abas raih dua jaringan dalam perlawanan ini bagi membantu UiTM raih mata penuh dengan Muhammad Luqman Hakim Mohamad Asri serta Muhammad Aidil Mohd Jaafar turut mencatat nama selaku penjaring.
Gol tunggal Thunderbolts pula dijaringkan oleh Muhammad Fahmi Khalid menerusi penalty stroke pada minit ke-39.
Keputusan ini menyaksikan UiTM mengumpul 14 mata untuk duduki tangga ke-5 liga manakala Thunderbolts tamatkan kempen di kedudukan ke-8.


Perlawanan lain menyaksikan Hockademy KL mencatat kemenangan 2-0 ke atas Kedah/Nurinsafi HT dengan jaringan dihasilkan oleh Baljit Singh Sarjab Singh serta Riaz Rana Suhail.