Connect with:




Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pasukan Hoki Terengganu (THT) akan berentap di final Piala Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas kedua-dua pasukan mengungguli saingan separuh akhir kedua di Stadium Tun Razak.

UniKL mara setelah membelasah Maybank 5-0 untuk agregat 9-1, manakala THT pula berjaya membenam cabaran TNB dengan keputusan 5-2 untuk agregat 8-3.

Menurut jurulatih UniKL, Arul Selvaraj, muncul juara lebih mudah daripada mempertahankan kejuaraan. Dia juga lebih senang dengan status bukan pilihan selepas pasukannya kehilangan empat tonggak import dari Belanda.

“Dalam situasi sekarang, semua pemain sudah mempunyai pengalaman beraksi dalam perlawanan akhir, Cuma kekurangan kami sekarang adalah kami kehilangan empat pemain import yang pulang ke Eropah”, kata Arul selepas tamat perlawanan menentang Maybank.

Namun, Arul tetap yakin dengan kemampuan pemain tempatan apabila mereka pernah mengharungi perlawanan tanpa pemain import sebelum ini.

Arul juga menasihati anak buahnya supaya berwaspada ancaman daripada pukulan sudut penalti pihak lawan dan mengawal pergerakan pemain seperti Jang Jonghyun, Faizal dan Fitri Saari.

Sementara itu, di kem THT, pengendalinya I Vikneswaran mengakui akan menghormati UniKL walaupun mereka beraksi tanpa empat tonggak import Belanda.

“Mereka adalah juara liga, kita tidak peduli siapa akan beraksi dan tidak boleh beraksi, paling penting kita tetap menghormati mereka selaku pasukan juara. Kita akan melakukan persiapan dan merencanakan taktik baru untuk menghadapi mereka dan saya tidak lihat kita mempunyai kelebihan dari segi bilangan pemain import yang dimiliki”, katanya.

Tahun lalu UniKL muncul juara Piala TNB selepas menumpaskan Kelab Hoki Kuala Lumpur dengan penentuan penalti 4-3 selepas terikat 1-1 pada masa sebenar.

Foto : MHC