Connect with:




Pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) melengkapkan kejuaraan ‘treble’ pada kempen TNB Liga Hoki Malaysia (TNB LHM) 2020 selepas menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) 2-1 untuk menjuarai Piala TNB dalam aksi yang berlangsung di Bukit Jalil pada Sabtu.

Juara liga itu bagaimanapun terpaksa bangkit daripada ketinggalan apabila THT yang merupakan juara bertahan mempunyai permulaan yang cukup baik.
Jaringan Nabil Fiqri Mohd Noor hasil daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-13 meletakkan THT di depan.
UniKL memberikan tentangan lebih hebat namun ketangkasan penjaga gawang THT, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri menafikan barisan penyudah lawan.
Gawang THT bagaimanapun bolos pada minit ke-48 apabila Mohamad Faid Farhadh Mohamad Shah menjadikan kedudukan 1-1 buat UniKL.

Tidak sampai satu minit, UniKL memperolehi jaringan kedua, kali ini Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil bijak memanfaatkan peluang untuk meletakkan pasukannya di hadapan.
Di sebalik asakan lewat permainan oleh THT, ia tidak memadai untuk menafikan kemenangan 2-1 memihak kepada UniKL untuk gelaran ketiga mereka musim ini.
“Secara keseluruhan kami menguasai hampir 80 peratus permainan malam ini, kami mempunyai beberapa pukulan sudut penalti.

“Kami mengekalkan disiplin dan apabila kami mendapat menjaringkan satu gol, ia menambahkan keyakinan untuk memperolehi jaringan berikutnya,” ujar pengendali UniKL, Arul Selvaraj.

Pemain UniKL, Mohamad Faid Farhad Mohd Shah pula berkata: “Saya berusaha sebaik mungkin untuk membantu pasukan dan gembira dapat menjaringkan gol pada perlawanan akhir ini, kejayaan ini melengkapkan musim pertama saya bersama UniKL dan meraih gelaran ‘treble’.”

“Momentum kami berubah apabila kehilangan khidmat Jang (Jong Hyun) yang dilayangkan kad kuning dan kesempatan ini dimanfaatkan sebaik mungkin oleh UniKL untuk raih jaringan,” jelas jurulatih THT, Muhammad Dharma Raj Abdullah.


Dalam pada itu, saingan Piala Vivian May Soars 2020 untuk kategori Wanita menyaksikan PKS Uniten mengecewakan Hockademy KL dengan kemenangan 2-1 untuk meraih gelaran juara.


Susulan kejayaan menjuarai gelaran liga sebelum ini, Hockademy turun sebagai pilihan apatah lagi sudah dua kali menewaskan PKS musim ini.
Begitupun PKS tampil dengan lebih bertenaga dalam pertemuan ini dan berada di hadapan hasil jaringan padang Nor Adilah Abdul Malik pada minit ke-11.
Tersentak, Hockademy tampilkan corak permainan menyerang namun beberapa peluang tidak dapat disempurnakan.
Penantian jaringan Hockademy terlerai pada minit ke-39 apabila Ashley Kate Fey mengikat kedudukan menerusi pukulan sudut penalti.


Ketika Hockademy semakin agresif untuk terus menekan lawan, Nur Zafirah Aziz muncul wira buat PKS dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-50, sekaligus memberikan pasukannya kejuaraan Piala Vivian May Soars buat kali pertama.

“Semua pemain memberikan persembahan yang terbaik dan mengikut strategi yang telah dirancang.

“Hockademy juga mempunyai beberapa peluang tetapi kami dapat bertahan bagi menyekat mereka daripada mudah menembusi gawang.

“Saya amat berbangga dengan semangat juang pemain yang rata-ratanya dibarisi pemain pelapis,” jelas pengendali PKS, Lailin Abu Hassan.

Selaku juara, PKS membawa pulang trofi kejuaraan serta wang kemenangan berjumlah RM25,000 manakala pasukan PDRM Blue Warriors menamatkan kempen kali ini di tempat ketiga selepas menewaskan Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan penentuan.

Senarai Anugerah
Piala TNB 2020
Juara: UniKL
Naib Juara: THT
Tempat Ketiga: TNB
Pemain terbaik perlawanan – Tengku Ahmad Tajuddin (UniKL)
Penjaring Terbanyak – Jang Jong Hyun (THT) – 23 gol
Fair Play – Hockademy KL

Piala Vivian May Soars 2020
Juara: PKS Uniten
Naib Juara: Hockademy KL
Tempat Ketiga: PDRM Blue Warriors
Pemain terbaik perlawanan – Mas Huzaimah Md Aziz (PKS Uniten)
Penjaring Terbanyak – Nuramirah Shakirah Zulkifli (Hockademy KL) – 11 gol
Fair Play – PDRM Blue Warriors