Connect with:




Selepas dikecewakan pada pentas akhir Kejohanan Ragbi Super Schools Fifteens 2018, SM Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) kembali membuat perhitungan dengan juara bertahan, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) apabila kedua-dua pasukan sekali lagi akan bertemu di peringkat akhir yang dijadualkan pada 27 April ini bagi merebut Trofi Cabaran Pengerusi Malaysia Airports di Tanjung Malim, Perak.

Sebelum ini, SEMASHUR berjaya mengetepikan saingan sengit daripada Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) dengan keputusan 26-21 di peringkat separuh akhir manakala MCKK menewaskan juara dua tahun lepas, Victoria Institution (VI) 15-3 sebelum ke perlawanan akhir.

Pada edisi 2018, MCKK mengetepikan cabaran SEMASHUR 25-10 dalam perlawanan akhir di gelanggang yang sama. Kejuaraan tersebut merupakan gelaran kedua MCKK dalam Kejohanan Ragbi Super Schools Fifteens sejak pertama kali dianjurkan pada 2013. Manakala perlawanan akhir tahun lepas adalah perlawanan akhir pertama buat SEMASHUR.

Pada edisi kali ini, MCCK merupakan pasukan yang melepaskan skor paling sedikit manakala SEMASHUR merupakan pasukan yang mendapat skor tertinggi. Pasti perlawanan akhir ini merupakan perlawanan yang sangat sengit dan menarik.

Menurut Pengurus Besar Komunikasi Korporat Malaysia Airports, Nik Anis Nik Zakaria, salah satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) adalah untuk menggalakkan sukan dan ingin memupuk sifat kepimpinan dalam kalangan pelajar demi pembangunan negara.

“Tahun ini kami rasa berbangga dengan program mentor baru yang dikenali sebagai Grassroots Development Programme di mana dua buah sekolah telah terpilih untuk memberi tunjuk ajar dan menerajui sukan ragbi. Malah, sekolah-sekolah ini juga akan berpelunag untuk beraksi dalam perlawanan pertama mereka dalam Kejohanan ini,” kata Nik Anis yang juga merupakan penaja utama kejohanan sejak diperkenalkan.

Trofi Cabaran Pengerusi Malaysia Airports bakal direbut oleh MCKK dan SEMASHUR pada perlawanan akhir di Tanjung Malim, Perak pada 27 April nanti.

Beliau juga menjelaskan bahawa sukan juga menanamkan nilai-nilai penting untuk menjadikan seorang pemimpin yang baik. Selain itu, Malaysia Airports berharap program baru itu akan memberi inspirasi kepada lebih ramai anak-anak muda untuk menceburi sukan ragbi.

“Malaysia Airports berbesar hati menjadi penaja utama untuk tahun ke-5 berturut-turut untuk kejohanan ini bukan sahaja kejohanan ini diiktiraf dan disokong oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM). Kami juga cukup teruja untuk menjadi pemangkin dalam mempromosikan sukan ragbi kepada sekolah-sekolah di negara ini.

“Ragbi adalah sukan lestari dengan prospek yang tinggi dan hanya sekolah-sekolah terpilih dengan program ragbi yang terbaik dipilih untuk menyertai kejohanan ini. Oleh itu, kami gembira dengan impak positif dan signifikan yang dicapai oleh para pemain,” jelasnya lagi.

MCKK dilatih oleh oleh penolong jurulatih skuad kebangsaan, Mohd Romli SAad manakal SEMASHUR dikendali oleh jurulatih, Mohd Salleh Abdul Hamid.

Manakala kedua-dua ketua pasukan Hariz Ezzat Hamidon (SEMASHUR) dan Ahmad Zaril Hariz Mohd Nazaruddin (MCKK) berjanji akan menampilkan aksi bertenaga dan memberi saingan yang sengit pada perlawanan akhir nanti.

Kejohanan Ragbi Super Schools Fifteens diadakan bertujuan untuk menyokong agenda sukan ragbi di peringkat sekolah dengan penganjuran kejohanan 15 sebelah yang menampilkan sekolah-sekolah ragbi terbaik di Malaysia bagi mengisi kelompongan pertandingan kompetitif selain pengajuran Kejohanan Majlis Sukan-Sukan Sekolah (MSSM).

Perlawanan akhir mempertandingkan Trofi Cabaran Pengerusi Malaysia Airports antara MCKK dengan SEMASHUR akan diadakan di Stadium Proton City, Tanjung Malim, Perak pada 4.00 petang.